25 September, 2015

Gejala Islamophobia


Header: Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Razak mengutuk sekeras-kerasnya gejala Islamophobia.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Baru-baru ini di Amerika Syarikat, berlaku satu kejadian di mana seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun bernama Ahmed telah ditahan polis kerana mencipta sebuah jam.

Jam tersebut, disalah sangka sebagai sebuah bahan letupan hanya kerana beliau seorang Muslim.

Inilah yang dipanggil Islamophobia.

Tindakan mereka yang sentiasa cuba mengaitkan Islam dengan keganasan ini sangat dikutuk.

Mereka sering mengaitkan Islam dengan keganasan walhal keganasan dilakukan oleh ramai lagi golongan yang bukan beragama Islam.

Peperangan yang mengorbankan nyawa beratus ribu orang di Iraq, merupakan satu bentuk keganasan.

Kekejaman Israel ke atas Palestin juga satu bentuk keganasan.

Malah, ianya lebih besar skalanya dan sudah berdekad lamanya penindasan mereka ini.

Penggunaan bom nuklear dan bom kimia jika digunakan, yang membunuh berjuta orang awam, juga adalah satu keganasan.

Mereka ini bukannya beragama Islam namun tidak pula dianggap sebagai pengganas.

Hakikatnya, keganasan merupakan krisis kemanusiaan yang melibatkan semua tanpa mengira agama.

Oleh itu, kita mengutuk sekeras-kerasnya gejala Islamophobia yang merupakan satu bentuk penindasan dan diskriminasi yang melampau.

Kita sebagai umat manusia juga perlu bersatu melindungi sesama kita, tidak kira agama daripada puak mendiskriminasi dan penindas agama kerana mereka ini sebenarnya yang bermasalah bukannya orang Islam.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.