Istimewanya bulan Ramadhan

By July 10, 2015 Audio
[soundcloud url=”https://w.soundcloud.com/tracks/214055488″ params=”color=0066cc” width=”100%” height=”166″ iframe=”true” /]

Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Razak berpesan pada semua umat Islam agar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keberkatan malam Lailatul Qadar.

Transkrip

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana kita diberikan nikmat sekali lagi menjalani ibadat puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tanpa disedari, kita sudahpun berada di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.

Sebagaimana yang kita tahu, sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan ini mempunyai satu malam yang sangat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar.

Malam Lailatul Qadar merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ia merupakan satu malam yang penuh rahmat dan nikmat besar daripada Allah SWT.

Pada malam tersebut, kita dijanjikan ganjaran pahala ibadat yang berlipat ganda seperti yang digambarkan dalam maksud firman Allah dalam Surah Al-Qadr, “Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita semua berhenti menyebarkan fitnah dan kebencian serta terus beristiqamah melakukan amal ibadat pada sepuluh malam terakhir.

Mohonlah agar dosa kita diampunkan dan bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan keberkatan malam istimewa ini kerana ia mungkin malam Lailatul Qadar kita yang terakhir.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.