Ucapan Perdana Menteri Mengenai Dasar Transformasi Yang Fokusnya Untuk Menambahbaik Perkhidmatan Awam

By August 11, 2017 Audio, Featured Articles

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Sudah menjadi tugas kerajaan untuk memudahkan urusan dalam kehidupan rakyat. Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Dasar Transformasi yang fokusnya untuk menambahbaik perkhidmatan awam yang sedia ada.

Kalau dahulu, perkhidmatan memperbaharui pasport perlu mengambil masa sehingga 10 hari bekerja, kini cuma mengambil masa satu atau dua jam sahaja hasil Dasar Transformasi Kerajaan. Malah kaunter imigresen di UTC juga beroperasi setiap hujung minggu kecuali cuti umum. Bermula 2016, permohonan memperbaharui pasport juga boleh dijalankan secara atas talian.

Begitu juga permohonan MyKid dan MyKad yang dahulunya tempoh menunggu permohonan adalah sehingga 30 hari berbanding kini di mana permohonan baru hanya mengambil masa 24 jam sahaja.

Kaunter JPM di UTC dan RTC juga dibuka pada hujung minggu sehingga malam kecuali pada cuti umum. Ini bukan sahaja memudahkan orang ramai, malah mengelakkan kesesakan pada waktu puncak.

Satu lagi aspek penting dalam kehidupan rakyat adalah rawatan kesihatan. Jika dahulu penduduk di pendalaman terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital, kini Klinik Bergerak 1Malaysia sanggup meredah hutan dan sungai semata-mata untuk memberi rawatan kepada orang ramai.

Inilah yang saya katakan Transformasi Perkhidmatan Awam iaitu usaha menyenangkan urusan orang ramai. Bukti Kerajaan sentiasa meletakkan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai keutamaan.

Sekian sahaja dari saya, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.