Ucapan Perdana Menteri Mengenai inisiatif yang telah kerajaan laksanakan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat

By February 10, 2017 Audio, Featured Articles
radio(sarahidup)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Pada tahun ke-60 Malaysia merdeka, kita perlu menghayati segala yang sudah kita kecapi. Bab kata orang, kita tidak akan menghargai sesuatu sehingga kita kehilangannya. Biarlah mereka nak kata apa pun, kerajaan hari ini tetap terus menabur bakti. Biarlah mereka nak kata apa pun, segala khidmat tetap diteruskan.

MRT, LRT, Pengerang, KL118, Jambatan Pulau Pinang Kedua, Lebuhraya Pan Borneo, KLIA2, Kota Iskandar, Lebuhraya Pantai Timur 3, Rumah PR1MA, Perumahan Rakyat, Klinik 1Malaysia, subsidi pendidikan, subsidi perubatan, Teraju, Tekun, BR1M, SL1M, UTC, RTC, 1Azam, eRezeki, Dana Mudahcara, dan pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat.

Semuanya bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Semuanya demi negaraku yang tercinta.

Kejayaan sukan kita di peringkat Olimpik adalah yang terbaik dalam sejarah. Kita mempunyai bakat seni dan ahli sukan antara terbaik di arena antarabangsa. Keindahan negaraku terkenal di mata dunia, dilawati berjuta manusia.

Wakil-wakil rakyat kini terus bertungkus lumus menjalankan kerja, membina jalan baru, hospital, sekolah, menceriakan kawasan, membina pusat beribadat, dewan masyarakat, kemudahan beriadah, membaiki kemudahan awam, rumah yang rosak, semuanya demi kemakmuran rakyat di negaraku ini.

Anasir-anasir negatif dalam dan luar negara boleh terus menghasut namun mereka tidak mampu menafikan kejayaan-kejayaan negaraku ini dan pembangunan yang telah berlaku di depan mata.

Tahun ini tahun Negaraku, tahun kita mensyukuri kemakmuran dan terus membangunkan negaraku.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.