Ucapan Perdana Menteri mengenai kepentingan melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi

By January 6, 2017 Audio, Featured Articles
kepentingan melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Bagi meningkatkan pendapatan, kita perlu mempunyai tahap pendidikan yang tinggi.

Memang di Malaysia rakyatnya terpelajar, namun masih ramai lagi yang tidak melanjutkan pengajian di peringkat menara gading.

Maka, mereka inilah yang paling terdedah kepada peningkatan kos sara hidup kerana tidak mampu mendapat kerja yang berpendapatan lebih tinggi.

Kebanyakan mereka turut mengalami masalah sumber kewangan dan juga kurang kesedaran tentang kepentingan melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

Kerana itulah, Kerajaan memberikan pelbagai bantuan kewangan untuk rakyat melanjutkan pelajaran.

Secara amnya, bagi institusi pendidikan tinggi, Kerajaan menanggung 90 peratus kos pendidikan dan pelajar cuma hanya perlu membayar 10 peratus sahaja.

Untuk golongan berpendapatan rendah, Kerajaan telah menyediakan banyak pembiayaan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi seperti Bantuan Kewangan Asasi, Tabung Pinjaman Pelajaran, Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti dan Bantuan Kewangan OKU dan sebagainya.

Di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi juga, Kerajaan menyediakan pembiayaan untuk semua golongan tidak kira tahap pendapatan seperti MyBrainSc, Sub-Kepakaran/Post-Doktoral dan banyak lagi.

Banyak bantuan yang telah dihulurkan oleh Kerajaan untuk membantu anak muda kita melanjutkan pelajaran.

Untuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, Kerajaan sebenarnya menjelajah seluruh negara mencari mereka untuk dimasukkan ke universiti melalui program seperti “Mengubah Destini Anak Bangsa”.

Oleh itu, dapatkanlah bantuan-bantuan ini kerana hanyalah dengan meningkatkan tahap pendidikan, kita dapat meningkatkan pendapatan serta taraf hidup warga kita.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.