Ucapan Perdana Menteri mengenai Kos Sara Hidup

By December 18, 2015 Audio

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Saya amat memahami isu kos sara hidup rakyat.

Ingin saya nyatakan bahawa Kerajaan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan bagi meringankan beban rakyat.

Namun, perlu saya menerangkan punca sebenarnya mengapa sesetengah harga barang dan perkhidmatan naik.

Pertama sekali, adalah faktor luar yang memberi tekanan terhadap ekonomi negara.

Apabila harga minyak mentah dunia turun, maka pendapatan Kerajaan berkurangan. Dalam konteks ini, dijangka lebih daripada RM30bilion pada tahun hadapan.

Maka sukarlah untuk Kerajaan melakukan campur tangan seperti menambah subsidi.

Analoginya, sekiranya kita sebagai seorang individu diturunkan atau dikurangkan pendapatannya, maka terbataslah kebolehan dan kemampuan kita untuk berbelanja.

Samalah dengan Kerajaan, terbatas dalam kebolehan serta kemampuan apabila pendapatan negara berkurangan.

Kedua, apabila pendapatan negara berkurangan, para pelabur akan menjual Ringgit untuk melabur di negara yang tidak terkesan dengan kejatuhan harga minyak.

Kesannya, nilai Ringgit kita menguncup menyebabkan harga barangan import menjadi lebih mahal.

Jika dilihat, trend Ringgit kita hampir selari dengan trend harga minyak.

Namun, ada pihak yang cuba mengelirukan masyarakat tentang punca sebenar kenaikan harga barang dan kejatuhan Ringgit.

Mereka cuba menyalahkan Kerajaan semata-mata, walhal Kerajaan sedang berusaha dengan gigih mencari jalan bagi mengawal harga barang yang naik akibat faktor luaran.

Contohnya, Kerajaan telah mengumumkan diskaun-diskaun khas pengangkutan awam baru-baru ini.

Kerajaan juga sedang meneliti langkah-langkah lain yang perlu dan mampu dilakukan oleh kita.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.