28 April, 2017

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Laporan Kegembiraan Dunia 2017


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Kegembiraan adalah perkara subjektif dan pastinya berbeza mengikut setiap individu tetapi ia akan menyuntik semangat untuk meneruskan kehidupan seharian kita dengan jaya.

Secara tidak langsung, kegembiraan adalah matlamat asas bagi setiap orang dalam hidup tanpa mengira bangsa, agama, jantina, umur, status ataupun pekerjaan.

Ada yang gembira kerana dapat pergi bercuti merata tempat, ada yang gembira kerana bahagia bersama keluarga, ada yang gembira kerana perniagaan maju dan sebagainya.

Tetapi sejauh mana rakyat Malaysia gembira? Dalam Laporan Kegembiraan Dunia 2017 Gallup World Poll yang disiarkan baru-baru ini di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Malaysia berjaya naik 5 anak tangga daripada kedudukan ke-47 tahun lepas kepada kedudukan 42 tahun ini.

Laporan ini merupakan daripada hasil kajian di 155 buah negara di seluruh dunia. Kedudukan kita ini dinilai berdasarkan faktor kebebasan, taraf pendapatan, kesihatan dan tahap kebajikan.

Saya dapati bahawa pengiktirafan ini sangat menarik kerana kita mendahului negara-negara maju seperti Jepun, Russia, Itali, Korea Selatan dan negara China.

Hal ini menunjukkan bahawa tahap kegembiraan tidak selalunya seiring dengan kemajuan. Tiada gunanya kita berpendapatan tinggi tetapi tidak gembira.

Memang penting untuk meningkatkan produktiviti dengan bekerja keras tetapi jangan sampai mengakibatkan tekanan emosi yang melampau.

Tenangkan fikiran dengan beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga agar kita dapat mengimbangi antara keceriaan dan kemajuan diri sendiri.
Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Shares Share Kategori : Audio, Featured Articles