Ucapan Perdana Menteri Mengenai Meningkatkan Amalan di Bulan Ramadan

By June 24, 2016 Audio

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Pada minggu yang lepas kita telah melalui dua pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Memang, persaingan sengit dan pada masa itu juga kita dapat lihat perselisihan antara parti-parti yang bertanding.

Walau bagaimanapun, pilihan raya kecil ini sudah selesai. Maka, kita harus kembali bermaafan, mengetepikan perbezaan antara kita dan meningkatkan amalan di bulan Ramadan yang mulia ini.

Sesungguhnya bulan ini penuh keberkatan dan kita sebagai umat Islam seharusnya berusaha memperbaiki diri dan hentikan segala perbalahan.

Kurangkan melakukan kerja-kerja yang tidak mendatangkan manfaat dan hentikan perbuatan memburuk-burukkan orang lain.

Marilah kita melakukan ibadat-ibadat bersama dengan keluarga dan sahabat handai dengan menunaikan tarawih di waktu malam.

Saya berasa sangat bersyukur kerana berkesempatan meluangkan masa dan beramah mesra bersama ibu, isteri, anak-anak serta saudara mara selepas kami menunaikan solat tarawih, sungguh tenang rasanya.

Jadi sekiranya kita semua dapat bersama-sama menggunakan bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan ibadat tanpa membangkitkan perkara-perkara yang mengundang perselisihan, nescaya kita akan dapat menikmati keindahan bulan Ramadan ini sepenuhnya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.