Ucapan Perdana Menteri mengenai muafakat melalui semangat kejiranan

By January 22, 2016 Audio

Description: Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Razak berbicara mengenai perpaduan nasional dan keharmonian sejagat yang berterusan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Pada tahun 2016 ini, marilah kita menguatkan azam untuk mengukuhkan lagi perpaduan sesama rakyat Malaysia.

Kerajaan selama ini telah mengusahakan kempen-kempen penyatuan nasional berasaskan gagasan 1Malaysia.

Kali ini, saya ingin menyarankan pula, agar kita memperkukuhkan muafakat melalui semangat kejiranan.

Pada zaman dahulu, di kawasan luar bandar semangat kejiranan sangatlah tinggi. Sekiranya ada berita baik, maka riuhlah sekampung.

Kalau ada kenduri, satu kampung juga akan bergotong-royong, memasak, melakukan persiapan, mengemas dan sebagainya.

Jalinan silaturahim mereka sangatlah erat. Namun, hari ini tidak dapat dinafikan semangat kejiranan kian luntur, lebih-lebih lagi di kawasan bandar.

Mungkin kerana kita sibuk dengan pekerjaan kita, keluar pada awal pagi dan pulang pada lewat malam, ada di antara kita tidak kenal jiran sebelah rumah.

Sayang sekali, sekiranya kita tidak mengamalkan kehidupan berjiran dengan baik, kerana jiran kitalah orang terdekat yang boleh membantu kita di dalam kesusahan.

Hubungan antara jiran yang baik juga menjamin keharmonian tempat tinggal kita. Oleh itu, perbanyakkanlah interaksi sesama jiran tetangga.

Amalkan toleransi serta elakkan menganggu ketenteraman kediaman mereka. Mulakan dengan usaha yang sangat mudah ini, iaitu berbaik-baik sesama jiran tetangga.

Ia merupakan langkah pertama ke arah perpaduan nasional dan keharmonian sejagat yang berterusan.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.