Ucapan Perdana Menteri Mengenai Pembangunan Sukan Negara

By August 26, 2016 Audio, Featured Articles

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Dalam beberapa hari lagi, kita akan menyambut ketibaan Hari Kemerdekaan buat kali ke-59. Saya, secara peribadi, berasa sangat teruja dengan sambutan tahun ini kerana ianya sangat bermakna, khususnya setelah negara kita berjaya mencapai rekod terbaik Sukan Olimpik 2016 minggu lepas dengan pungutan 5 pingat berbanding 1 atau 2 pingat pada kejohanan-kejohanan Olimpik sebelum ini.

Walau apapun prestasi yang dicapai, sedar atau tidak, atlet-atlet negara telah berjaya menyatukan hati kita semua, tidak kiralah apa fahaman politik, asal usul kita, semuanya sehati sejiwa memberikan sokongan padu buat wira dan wirawati negara di Rio, Brazil baru-baru ini.

Ini merupakan bakti yang tidak ternilai oleh para atlet Malaysia.

Program pembangunan sukan kita telah berjaya meningkatkan prestasi fizikal sukan negara. Seterusnya, saya percaya bahawa latihan sukan negara perlu fokus kepada daya kekuatan mental pula di mana kita memupuk aspirasi untuk lebih berjaya di peringkat teratas di dalam diri para atlet Malaysia.

Hal ini supaya atlet-atlet lebih dahagakan status juara dunia itu bukan sahaja demi negara tetapi untuk diri mereka sendiri.

Setiap rakyat Malaysia memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan moral kepada mereka kerana suntikan semangat itulah yang memberi kekuatan untuk negara kita, meraih prestasi yang lebih tinggi terutama sekali pada tahun hadapan di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA dan seterusnya pada masa Olimpik Tokyo 2020.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.