25 November, 2016

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Perdagangan Antarabangsa


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Dalam era globalisasi ini, perdagangan antarabangsa adalah sangat penting dalam memacu arus pemodenan negara.

Sektor eksport negara kita sangat pesat di mana barangan dan perkhidmatan kita sangat tinggi permintaannya di pasaran antarabangsa. Ia telah menjana pendapatan yang sangat lumayan dan membuka puluhan ribu peluang pekerjaan.

Namun demikian, kita dapati bahawa beberapa negara maju dunia seperti Amerika dan Britain ingin meningkatkan dasar perlindungan ekonomi di negara mereka.

Apabila perkara ini berlaku, ramai pelabur beranggapan bahawa aliran taburan tunai khususnya di negara-negara Asia akan mula perlahan. Kesan daripada ini, kita lihat banyak negara-negara menerima tempias ke atas pasaran saham dan nilai matawang mereka.

Malaysia tidak terkecuali. Oleh itu, Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam mengekalkan momentum perdagangan kita supaya pelaburan asing tetap masuk dan kita terus mendapat akses kepada pasaran luar negara bagi mengeksport barangan kita.

Jangan lupa bahawa jumlah pendapatan telah berkurang sebanyak lebih kurang RM40 bilion akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Jika kita tidak mengekalkan aktiviti perdagangan antarabangsa kita pada kadar yang sihat, pendapatan kita akan terkesan dengan lebih lagi.

Kerana itulah saya sekarang ini sangat aktif dalam mencari pelaburan serta meningkatkan kerjasama ekonomi dengan negara-negara lain kerana dua sebab utama – meningkatkan pelaburan dan membuka pasaran eksport untuk negara kita.

Alhamdulillah, usaha ini berjalan lancar dan Malaysia akan terus mengecapi pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan mampu membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat Malaysia. Ini adalah sangat penting bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Audio, Featured Articles