20 November, 2015

Ucapan Perdana Menteri mengenai projek MRT


Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Setiap kali saya melawat tapak pembinaan MRT, saya sentiasa kagum melihat begitu ramai jurutera-jurutera muda Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang terlibat dalam projek berprofil tinggi ini.

Saya bangga melihat anak-anak muda Malaysia di dalam projek MRT ini kerana bukan sahaja mereka dapat belajar daripada para jurutera yang lebih berpengalaman bahkan diberi peluang untuk menjadi pengurus-pengurus projek walaupun umur mereka masih dalam lingkungan 20 ke 30-an.

Tentunya pengetahuan dan pengalaman yang mereka timba dalam bidang ini sangat berharga dan amat diperlukan di masa hadapan bukan sahaja untuk negara malah pembangunan kerjaya mereka sendiri.

Projek MRT ini, bukan sahaja satu penambahan kepada infrastruktur pengangkutan awam di negara ini, bahkan ianya telah membawa masuk teknologi kejuruteraan canggih ke Malaysia.

Begitu juga dengan projek-projek lain yang memerlukan teknologi kejuruteraan canggih seperti projek Pengerang, Jambatan Pulau Pinang Kedua, projek Menara KL118, Keretapi Berkelajuan Tinggi.

Semua ini melahirkan bakat-bakat yang mampu memacu pembangunan negara masa kini dan masa hadapan, Insya-Allah.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.