18 November, 2016

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Sandiwara Perhimpunan Pembangkang


 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Dalam sebuah negara demokrasi, parti yang memenangi pilihanraya diberikan masa satu penggal untuk berkhidmat kepada rakyat dan membangunkan negara.

Manakala parti yang kalah perlu menerima kenyataan dan memberi laluan kepada parti yang menang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sebagai pembangkang mereka berhak mengkritik menggunakan saluran yang betul.

Namun di Malaysia, keadaan berbeza. Parti pembangkang di negara ini mempergunakan sebuah NGO yang kononnya tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan memerangi rasuah, untuk menekan Kerajaan melalui perhimpunan.

Semua sedia maklum, NGO ini adalah boneka pembangkang. Daripada perhimpunan kedua hinggalah kelima, pemimpin pembangkang yang mengetuai rusuhan-rusuhan ini.

Pada perhimpunan kedua, mereka mengganas di Kuala Lumpur hingga menterbalikkan kereta polis.

Perhimpunan ketiga pula, mereka mendengar arahan ketuanya merempuh halangan polis sehingga menimbulkan kekecohan.

Pada edisi keempat pula, mereka bersorak untuk menjatuhkan parti pemerintah, tetapi memanggil diri mereka non-partisan.

Akhir sekali pada perhimpunan kali kelima ini pula, mereka menjunjung pemimpin pembangkang yang sudah didakwa melakukan rasuah, padahal mereka kata mahu memerangi rasuah.

Tidakkah sudah terang lagi bersuluh, bahawa perjuangan mereka adalah palsu dan perhimpunan ini hanyalah gerakan parti pembangkang yang berselindung sebagai NGO non-partisan untuk menentang Kerajaan yang dipilih rakyat?

Majoriti rakyat sudah lali akan taktik pembangkang ini. Mereka hanya mahukan khidmat bakti daripada Kerajaan, dan itulah yang saya dan pasukan saya akan terus lakukan.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Audio, Featured Articles