26 Februari, 2016

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Sektor Pelancongan Negara


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam 1Malaysia

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Seperti yang pernah saya maklumkan sebelum ini, Kerajaan akan memberi tumpuan yang lebih kepada ekonomi tahun ini bagi memastikan pertumbuhan KDNK mencapai unjuran 4.0 hingga 4.5 peratus pada tahun ini.

Berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia, pendapatan negara telah berkurangan lebih daripada RM30 billion. Jika kita tidak mencari sumber pendapatan lain bagi menampung kekurangan pendapatan daripada hasil minyak, maka kesannya kepada rakyat adalah amat buruk.

Antara fokus utama kerajaan adalah untuk mengembangkan sektor pelancongan negara. Malaysia merupakan negara yang terkenal dalam sektor ekopelancongan di mana kita mempunyai pantai yang terindah di dunia, serta hutan hujan tropika yang kaya dengan spesis tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang unik.

Kerajaan juga sedang melancarkan promosi pakej percutian ke Malaysia dengan lebih giat di luar negara. Dengan penurunan nilai mata wang ringgit, kos percutian di Malaysia menjadi lebih murah untuk pelancong asing. Ini membuka peluang perniagaan yang lebih besar buat kita. Apabila warga asing berbelanja di negara ini, ia merupakan satu bentuk pendapatan untuk ekonomi kita.

Insya-Allah sektor pelancongan akan terus kita kembangkan sekaligus memangkin pertumbuhan ekonomi negara di waktu ekonomi dunia yang tidak menentu ini.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.