29 April, 2016

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Teras Keharmonian Masyarakat


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Teras keharmonian masyarakat sangat bergantung kepada struktur pentadbiran negara.

Sejak berdekad lamanya, Malaysia kekal aman kerana kerajaan dibarisi pemimpin daripada pelbagai kaum yang mampu bekerjasama antara satu sama lain.

Kita perlu sedar bahawa sesebuah pasukan walaupun diwakili individu daripada pelbagai kaum, adat, agama tidak semestinya boleh bekerjasama.

Kepelbagaian yang tidak berlandaskan persefahaman sosial tidak akan mampu melahirkan suasana kerjasama seperti yang kita lihat dalam kempen sesetengah pihak menjelang pilihan raya Sarawak.

Jadi, rakyat Malaysia harus faham bahawa kepimpinan negara meskipun perlu mempunyai komposisi yang pelbagai, ia juga perlu diterajui berdasarkan sebuah sistem pentadbiran yang sudah melalui proses pematangan.

Ia perlu berlandaskan sistem sosial yang dirangka tokoh-tokoh pengasas negara kita iaitu hak kepentingan setiap kaum mesti dipelihara, adat resam agama perlu dihormati, sensitiviti kaum perlu dijaga, kekayaan dan kuasa perlu dikongsi.

Kerajaan hari ini sudah lama faham akan perkara-perkara ini dan kerana itulah Malaysia kekal harmoni dan pesat membangun.

Oleh sebab itulah kerajaan kini tiada lagi perselisihan ideologi dalaman yang serius sekaligus membolehkan kami menumpukan kepada pembangunan negara dan berkhidmat kepada rakyat.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.