Ucapan Perdana Menteri Mengenai Tuduhan Pembangkang


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia,

Rakyat Malaysia yang dikasihi, pakatan pembangkang sering mengutarakan isu yang dikitar semula walaupun kerajaan telah berkali-kali menjawabnya. Antaranya, adalah mereka menuduh Kerajaan Pusat mengabaikan negeri pembangkang iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Malah baru-baru ini, bekas Menteri Besar Kedah menuduh kerajaan pusat mengabaikan Kedah sedangkan ia tidak benar sama sekali. Setiap tahun, Kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk setiap negeri dalam Malaysia, termasuk negeri pembangkang. Pemberian dana tersebut diberi mengikut bilangan penduduk, penyelenggaran jalanraya negeri, pemberian tahunan PBT, pemberian kerana kekurangan akaun mengurus, dan lain-lain. Malah jumlah pemberian ini meningkat setiap tahun. Pada tahun 2015, jumlah pemberian kepada seluruh negeri adalah sebanyak RM6.74 bilion.

Dari tahun 2011 hingga 2015, Kelantan menerima kira-kira RM1.94 bilion, termasuk RM378.85 juta peruntukan disebabkan kekurangan akaun mengurus. Manakala Pulau Pinang menerima RM950.44 juta untuk tempoh yang sama. Selangor pula menerima RM3.63 bilion termasuk pemberian khas sebanyak RM25.81 juta setiap tahun. Jumlah ini tidak termasuk projek Kerajaan Persekutuan yang bernilai berbilion-bilion ringgit di negeri-negeri tersebut seperti pembinaan sekolah, hospital, jalanraya, rumah mampu milik, projek perumahan rakyat, pejabat polis dan lain-lain lagi.

Kerajaan sedih pembangkang tidak menceritakan perkara sebenar, malah menuduh kerajaan zalim dan mengabaikan negeri pembangkang. Akhir kata, saya ingin menyarankan kepada pemimpin pembangkang agar tidak menuduh kerajaan tanpa bukti. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia tidak kira di negeri pembangkang atau negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional.

Sekian sahaja dari saya, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.