7 Disember, 2016

2 Hari di Johor


Negeri Johor memang banyak keistimewaannya. Inilah negeri tempat lahirnya UMNO dan ramai golongan cerdik pandai dan berjasa. Negeri ini juga punya pasukan bola sepak amat hebat di rantau Asia Tenggara yang mencipta sejarah demi sejarah. Juadah-juadahnya sedap-sedap belaka, kacang pool kegemaran saya. Dan Negeri Johor juga lokasi yang akan memainkan peranan penting ke arah merealisasikan impian ekonomi Malaysia mencapai RM2 trilion.

Dalam lawatan 2 hari saya ke Johor pada 4 hingga 6 Disember lalu, saya dapat melihat sendiri betapa Negeri Johor telah membangun dengan begitu pesat, pelbagai kemajuan yang telah dicapai dan juga perancangan baharu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Saya memulakan lawatan dengan meninjau Kompleks Bersepadu Pengerang dan merasmikan pemasangan turus pemecahan propilena tertinggi dan terberat di Malaysia, yang mana berat turus itu sama dengan sebiji Airbus A380!

Projek Pengerang ini adalah sebahagian daripada projek utama negara, akan menjadi hab petrokimia terbesar di Asia. Saya berpuas hati melihat kemajuannya mengikut jadual dan berjalan lancar, tetapi saya akan melakukan tinjauan dari semasa ke semasa untuk pastikan kita mencapai sasaran. Satu lagi, saya juga akan pastikan saya pakai safety helmet betul-betul dalam lawatan seterusnya!

Pic 1 - Pengerang

Saya kemudiannya melancarkan 2 inisiatif Kerajaan Negeri untuk membina infrastruktur sukan, Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin di perkarangan Stadium Larkin, rumah pasukan JDT. Projek ini akan dikendalikan oleh 2 badan korporat milik Kerajaan Negeri Johor, membuktikan kepesatan pembangunan negeri yang kini mempunyai kuasa pembeli dan juga potensi nilai tanah yang tinggi.

Lebih daripada itu, projek ini juga akan menjadi penyumbang kepada kejayaan sukan bukan sahaja untuk Negeri Johor tetapi juga untuk negara Malaysia, membuka ruang kita memupuk ahli sukan hebat di masa hadapan. Projek ini bagi saya bukanlah perbelanjaan, sebaliknya adalah pelaburan yang akan membawa pulangan jangka panjang berlipat ganda kepada rakyat, dan pelengkap kepada Negeri Johor.

Pic 2 - Arena Larkin

Pada sebelah petang hari Isnin, saya mengiringi DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim ke majlis tahlil dan bacaan yasin sempena setahun kemangkatan adinda Baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim. Semoga roh Almarhum sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan beriman, Al-Fatihah.

Pic 3 - Tahlil

Saya seterusnya meninjau sebuah lokasi yang dikatakan antara destinasi pilihan utama di Negeri Johor, sehinggakan boleh dikatakan tak sah ke JB kalau tak singgah ke sini. Ada flash mob zapin, saya sempat tinjau juga kedai-kedai jenama lokal, selain bersembang bersama ramai usahawan muda Johor yang berjaya. Anda boleh baca nukilan saya mengenai lawatan ke Kilang Bateri di sini.

Pic 4 - Bateri

Hari kedua saya mulakan bersama DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, masuk mengadap DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi untuk santapan pagi. Saya berpeluang naik Rolls-Royce TMJ, dan kemudiannya Baginda bertitah untuk saya gunakan kereta Baginda buat majlis seterusnya. Patik melafazkan junjungan setinggi kasih dan penghargaan atas perkenan kurnia Tuanku.

Pic 5-1

Pic 5-2

Pic 5 -3

Agenda seterusnya, saya menghadiri Pembukaan Rasmi Hotel Phoenix di Forest City, Gelang Patah selain menyaksikan Majlis Menandatangani Inisiatif Strategik berkaitan. Projek ini adalah suntikan besar kepada ekonomi Johor dengan komitmen pelaburan setakat ini sebanyak RM 10 bilion. Saya yakin projek ini akan mendapat sambutan menggalakkan, Insya-Allah.

Pic 6

Saya kemudiannya mengiringi DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ke Majlis Pelancaran Reka Bentuk Pembangunan Fastrack City di Pinewood Studios, Iskandar Puteri. Fastrack City ini adalah hasil ilham dan idea bernas selain keterlibatan secara peribadi Baginda Tunku Mahkota Johor, di mana kita akan kelak mempunyai pusat sukan motor bersepadu paling unik di Asia, dengan trek lumba sehebat trek bertaraf dunia seperti di Nürburgring, Jerman.

Pic 7 - forest

Seterusnya saya menyertai Mantan Perdana Menteri dan Penasihat Wilayah Iskandar, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin dan ramai lagi di Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Iskandar Malaysia (IM10) di Iskandar Puteri, Johor.

Sepanjang 10 tahun penubuhannya, Iskandar Malaysia ini telah berkembang melangkaui ramalan, wilayah membangun paling pesat di Malaysia. Salah satu penyumbang utama adalah sokongan berterusan dan sangat baik daripada Kerajaan Negeri Johor.

Konsep pembangunan sebegini bergantung kepada kesepakatan antara Kerajaan Pusat dan Negeri, dan saya gembira melihat hasil daripada kesepakatan itu membawa pulangan di luar jangkaan, RM 221 bilion daripada pelaburan asal sebanyak RM 20 bilion daripada Kerajaan Pusat, bermakna 10 kali ganda return on investment, pulangan cukup cukup memberangsangkan.

Selain itu, Wilayah Pembangunan Iskandar ini juga telah mewujudkan lebih 700 ribu peluang pekerjaan dan menjana pendapatan isi rumah dan golongan M40. Malah, pendapatan isi rumah di Johor telah meningkat 14.4%, paling tinggi antara semua negeri di Malaysia.

Kredit harus diberikan kepada pencetus idea mewujudkan konsep pembangunan ini, tidak lain dan tidak bukan Pak Lah, Mantan Perdana Menteri kita.

Pic 8 - im10

Secara keseluruhannya, saya berasa gembira dan bangga melihat hasil dasar bersama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, selain sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk dari Kerabat Diraja Johor telah menyaksikan Johor kini berkembang sebagai kuasa ekonomi besar baharu di Malaysia.

Insya-Allah, kita akan melihat lebih banyak lagi pembangunan di Johor, yang hasilnya akan dinikmati bukan sahaja oleh rakyat Johor tetapi juga untuk rakyat Malaysia kesemuanya.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles