2017 Tahun Penyampaian

By January 9, 2017 Blog, Featured Articles

2017 menyingkap tirai tatkala dunia sedang melalui pelbagai detik perubahan, sama ada positif mahupun negatif. Kesan daripadanya dirasai di setiap pelusuk dunia, Malaysia tidak terkecuali.

Walaupun begitu, saya yakin 2017 ini akan membawa lebih banyak detik perubahan positif berbanding negatif buat negara.

Alhamdulillah, kita telah pun dapat melihat sedikit-sebanyak arus perubahan positif ke arah kestabilan ekonomi, contohnya, harga minyak kini lebih tinggi pada US$54 setong berbanding US$44 pada waktu sama tahun lalu.

Tambahan lagi, harga minyak sawit juga kini lebih kukuh pada RM3,200 untuk satu tan, jika dibandingkan cuma RM2,600 tahun lalu. Harga getah juga telah meningkat 3 kali ganda.

Selain itu, Bank Negara juga telah mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengekalkan kestabilan ekonomi negara dan matawang Ringgit Malaysia.

Insya-Allah melaluinya kita akan dapat membendung keadaan ekonomi tidak menentu yang melanda baru-baru ini.

Pada masa sama, berkenaan soal pentadbiran, Kerajaan akan terus mengambil langkah memastikan rakyat sentiasa didahulukan.

Cara terbaik bagi ini adalah dengan melakukan tugas dengan sempurna dan memastikan penyampaiannya tercapai.

Dalam erti kata lain, kita perlu ‘deliver’.

Oleh itu, dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri pertama tahun ini, saya ingin menekankan bahawa tahun 2017 adalah tahun penyampaian.

Penyampaian bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi kita juga perlu pastikan ia mempunyai nilai kepada rakyat, pastikan bahawa segala projek, bantuan dan program yang telah dirancang sampai kepada rakyat.

Bagi mencapainya, kita perlu kepada perubahan cara pemikiran, para penjawat awam perlu fokus kepada penyampaian perkhidmatan usaha, latihan, penambahan nilai dan segala-galanya untuk kebajikan rakyat.

Insya-Allah, sekiranya kita tekankan perkara ini, dan bekerja bersama dengan gigih, saya yakin 2017 akan jadi tahun yang berjaya buat sektor perkhidmatan awam, yang seterusnya membawa kepada kesejahteraan buat rakyat keseluruhannya.