3 Kejayaan Utama Lawatan ke India

Alhamdulillah, lawatan kerja saya ke India telah selesai semalam dan saya percaya kita telah memasuki lembaran baru dalam hubungan dua hala dengan kerajaan India kepada lebih strategik dan komprehensif. Banyak yang telah kita capai dan suka saya kongsikan 3 kejayaan utama delegasi kita di India bersama anda semua di sini.

Pertama sekali, kita telah berjaya menandatangani 31 Memorandum Persefahaman (B-to-B) yang jumlah pelaburannya bernilai US$36 bilion atau RM158.4 bilion, dan sebanyak US$32 bilion daripada jumlah tersebut merupakan projek dan pelaburan di Malaysia. Kerjasama yang dimeterai meliputi pelbagai sektor termasuk pembinaan pelabuhan, jalan raya, pembangunan tenaga solar, pembangunan bangunan pintar, taman teknologi, pembangunan minyak sawit dan kelapa serta pendidikan tinggi.

Antaranya, Syarikat Topworth Group dan Samarth Group dari India telah menyerahkan Surat Hasrat Melabur (LOI) untuk pelaburan berjumlah RM1.6 bilion di Malaysia. Syarikat Samarth yang merupakan pengeluar pelbagai produk perubatan kritikal bercadang melabur RM352 juta di Iskandar Malaysia, Johor, manakala Topworth pula merupakan pengeluar aluminium foil untuk pembungkusan ubat dengan pelaburan berjumlah RM1.32 bilion di Bintulu, Sarawak.

Kita juga bakal menyaksikan kerjasama antara syarikat Malaysia dan syarikat India dalam membangunkan projek pelabuhan dan bandar raya maritim bernilai kira-kira USD$ 32 bilion di Pulau Carey, Klang, Selangor. MMC Port Holdings Sdn Bhd dari Malaysia dan Adani Ports & Special Economic Zone Limited dari India dijangka membangunkan Projek Pelabuhan Pulau Carey bernilai US$9.39 bilion manakala pembangunan bandar raya maritim bersepadu seiring cadangan Pelaburan Pulau Carey akan menyaksikan usaha sama antara MMC Port Holdings dan Sime Darby Property Bhd dengan Adani. Bandar raya bersepadu ini bernilai US$22.78 bilion bagi tempoh 30 tahun.

Ini adalah satu indikator positif yang jelas menunjukkan keyakinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Modi dan syarikat-syarikat terkemuka India terhadap suasana pelaburan dan ekonomi di Malaysia.

Jumlah pelaburan dan projek-projek yang saya sebutkan ini bukanlah nombor semata-mata tetapi bakal membawa makna yang besar kepada rakyat Malaysia. Anak-anak kita akan mendapat manfaat peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi dan kualiti hidup mereka sudah tentu dapat ditingkatkan. Industri sokongan juga sudah pasti akan terus berkembang.

Saya juga gembira melihat syarikat-syarikat Malaysia yang aktif membida projek jalan raya negeri di Rajasthan yang berjumlah lebih 3,000 kilometer. Saya berharap bidaan mereka akan dipertimbangkan dengan sewajarnya memandangkan pembida Malaysia menawarkan peluang untuk menambah nilai melalui penggunaan teknologi dan inovasi, melalui pemindahan pengetahuan dan kemahiran, pembiayaan yang baik, dan perkongsian kepakaran dan pengalaman. Insya- Allah.

Kedua, hubungan ekonomi antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan India juga telah memasuki fasa baru di mana 6 Memorandum Persefahaman dan 1 perjanjian (G-to-G) yang membuka ruang ke arah peningkatan ekonomi antara kedua-dua negara telah dimeterai. Antara MoU yang telah dimeterai adalah cadangan pembangunan kilang pengeluaran urea dan ammonia di Malaysia serta pembelian lebihan urea dari Malaysia ke India. Projek berkenaan dijangka melibatkan kos sebanyak US$2 bilion, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 2.5 juta tan setahun dan khusus untuk pasaran India. Dari segi perdagangan dua hala, saya dan Perdana Menteri Modi juga bersetuju untuk mencatat sasaran US$15 bilion dalam masa tiga tahun.

Ketiga, Perdana Menteri Modi juga telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan, pertahanan dan keamanan di mana beliau telah menyatakan minat untuk membeli jet pejuang MiG-29 daripada Malaysia dan sebagai timbal balas kita akan menerima peralatan ganti untuk program pesawat Sukhoi kita. Usahasama dalam bidang de-radikalisasi juga akan turut ditingkatkan.

Pertemuan saya dengan pelakon terkenal Rajinikanth sudah tentunya merupakan bonus lawatan kerja saya kali ini. Saya telah mengambil peluang tersebut untuk menjemput Rajinikanth membuat pengambaran sekuel filem Kabali di Malaysia dan saya percaya ini adalah satu langkah yang strategik untuk memasarkan keindahan dan keunikan Malaysia kepada pelancong dari India seterusnya menarik kedatangan lebih ramai pelancong India ke Malaysia. Ini sejajar dengan agenda untuk meningkatkan kapasiti mingguan penerbangan ke India dari 20,000 kepada 40,000.

Secara keseluruhannya, lawatan kerja ini sememangnya satu anjakan paradigma yang diperlukan oleh kedua buah negara dalam merealisasikan potensi masing-masing.

Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Modi dan Kerajaan India atas layanan mesra yang diberikan kepada saya dan delegasi Malaysia walaupun beliau sedang berpuasa dan hanya menjamah air selama 9 hari. Ini sudah tentunya satu bukti kepada hubungan rapat kedua buah negara serta komitmen untuk mengukuh dan meningkatkan kerjasama sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

Tidak lupa juga kepada semua anggota delegasi yang terlibat dalam menjayakan lawatan kerja ini, baik pemimpin tertinggi kerajaan, pegawai-pegawai, dan pemimpin-pemimpin perniagan yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan negara dan rakyat kita terus menerima manfaat hasil daripada lawatan ini.

Insya-Allah, sesungguhnya kita akan terus melangkah ke hadapan bersama rakan strategik kita, dan saya percaya India dan Malaysia akan bersama-sama maju ke hadapan di bawah kerjasama yang telah dipupuk ini.