4 Manfaat Utama Daripada Kunjungan Baginda Raja Salman ke Malaysia

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Baginda Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan delegasi Baginda seramai 600 orang, yang terdiri daripada kerabat Diraja dan menteri-menteri kabinet yang berkunjung ke Malaysia.

Ini adalah lawatan pertama Raja Salman ke Malaysia dan rantau ini sebagai Raja Arab Saudi, dan kita berbangga dipilih sebagai negara pertama kunjungan Baginda ke Asia.

Saya percaya selama tempoh Baginda berada di sini, bukan sahaja akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala, tetapi juga adalah bukti kepada ikatan persaudaraan erat yang telah kita jalin dengan Arab Saudi.

blog saudi-2

Alhamdulillah, lawatan ini adalah lawatan yang berjaya bagi kedua-dua belah pihak, dan suka saya berkongsi 4 perkara utama daripadanya yang akan memanfaatkan rakyat secara langsung.

1) Lebih banyak biasiswa untuk rakyat Malaysia

Kerajaan Arab Saudi akan menambah 3 kali ganda jumlah biasiswa buat pelajar Malaysia di Negara Arab Saudi bermula tahun hadapan. Buat masa sekarang, hanya terdapat 100 biasiswa tersedia bagi pelajar Malaysia untuk menuntut ilmu di Universiti Islam Imam Mohammed bin Saud di Riyadh. Biasiswa ini bermakna lebih ramai pelajar akan berupaya melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terkemuka di sana. Tambahan kepada itu, ia juga melengkapi dan menambah lagi kepada peruntukan RM4.3 bilion Kerajaan untuk biasiswa di bawah Bajet 2017.

2) Penambahan kuota Haji, dan 2 pusat jemaah haji Malaysia di Mekah dan Madinah

Sebagai rukun Islam ke-5, ibadah Haji adalah topik yang amat dekat di hati saya dan semua umat Islam di Malaysia. Sebagai Perdana Menteri, saya akan berusaha melakukan segala yang terdaya bagi membantu saudara saudari se-Islam saya agar dapat menunaikan kewajipan mereka sebagai seorang Muslim.

Kita pernah mendengar kisah bahawa ada yang terpaksa menunggu sehingga 40 tahun untuk mengerjakan Haji, dan saya komited untuk memastikan kejadian sebegini akan dapat kita kurangkan.

Alhamdulillah, berkenaan permohonan saya untuk meningkatkan kuota Haji, Raja Salman telah memberikan maklum balas positif dan akan memberi pertimbangan secara mendalam. Setakat ini, kuota jemaah Haji Malaysia bagi musim Haji 2017 adalah 27,900 orang.

Kita juga telah menyampaikan permohonan untuk membina 2 pusat jemaah haji, satu di Mekah berdekatan Masjidil Haram dan satu lagi di Masjid Nabawi di Madinah. Permohonan ini juga mendapat maklum balas positif daripada Raja Salman dan akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Saya berharap dan berdoa semoga permohonan kita ini akan diberi pertimbangan sewajarnya agar dapat memudahkan umat Islam Malaysia menunaikan ibadah Haji dalam suasana yang lebih kondusif.

3) Pekerjaan dan Pelaburan

Bila berbicara perihal ekonomi, kita sering mendengar segelintir pihak menyebarkan berita negatif mengenai Malaysia untuk kepentingan politik peribadi. Mereka membuat tuduhan liar bahawa kita sama ada akan muflis atau akan menjual negara kepada orang luar melalui pelaburan asing.

Realitinya, jauh panggang dari api. Pelaburan asing mewujudkan pekerjaan buat rakyat kita, pada masa sama kita mengekalkan pemilikan dan kedaulatan sepenuhnya. Tambahan lagi, kita kini menyasarkan untuk meningkat naik dalam nilai rantaian, termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi seperti arkitek, jurutera, akauntan, ahli kimia dan banyak lagi. Pelaburan sebegini daripada luar negara adalah tanda keyakinan yang tinggi terhadap ekonomi kita.

Sebelum ini, hubungan kita dengan Kerajaan Arab Saudi kebanyakannya berkisar kepada isu berkaitan ibadah umrah dan Haji. Sementara itu, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara pula berada pada jumlah sederhana, RM13.99 bilion, pada 2016.

blog saudi-3

Semua ini bakal berubah. Alhamdulillah, Saudi Aramco akan membuat pelaburan berjumlah RM31.08 bilion dalam Projek Pembangunan Loji Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Johor dan saya percaya, ia akan mewujudkan banyak peluang kepada rakyat, daripada peluang pekerjaan hinggalah kepada pembangunan dalam industri sokongan seperti runcit, kewangan, pembinaan, perkhidmatan dan banyak lagi. Industri lain seperti ekonomi halal, perkhidmatan kewangan Islam dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) turut akan mendapat manfaat.

4) Pelbagai jenis peluang di Arab Saudi untuk perniagaan dan usahawan Malaysia

Para peniaga Malaysia akan turut mendapat manfaat daripada kunjungan ini. Dengan populasi seramai 31.7 juta orang, Arab Saudi adalah ekonomi ke-20 terbesar di dunia dan tersenarai di tempat ke-5 ekonomi paling pesat membangun dalam kalangan negara G20 dengan keluaran dalam negara kasar US$ 640 bilion.

Sama seperti Malaysia, Arab Saudi turut telah mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas, termasuk memperkenalkan GST. Selain itu, sama seperti kita, mereka turut akan melaksanakan Pelan Transformasi Nasional.

Terdapat banyak peluang di Arab Saudi bagi industri dan usahawan kita. Sebagai contoh, salah satu sasaran utama Arab Saudi adalah meningkatkan jangka hayat daripada 74 hingga ke 80 tahun. Ini akan membuka peluang kepada industri kesihatan terutamanya perkhidmataan penjagaan penduduk warga emas.

Satu lagi contoh adalah sasaran Arab Saudi untuk meningkatkan pengunjung yang datang menunaikan ibadah Umrah daripada 8 juta ke 30 juta orang. Ini akan membawa kepada penambahan permintaan bagi sektor-sektor seperti telco dan ICT, infrastruktur, kandungan digital, tenaga, pelancongan dan hospitaliti, kesihatan, teknologi hijau, peruncitan dan juga pengangkutan. Peluang unik juga akan tersedia bagi perniagaan dalam sektor seperti e-commerce, tenaga boleh diperbaharui, hiburan dan riadah, perkhidmatan kewangan dan banyak lagi.

Selanjutnya, saya berharap bahawa peniaga kita akan lebih inovatif dan mengambil peluang yang tersedia ini untuk mengembangkan sayap dan mewujudkan hubungan dengan saudara kita daripada Arab Saudi. Ini bukan sahaja akan mengukuhkan ekonomi tetapi juga mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

Saya berdoa semoga Allah SWT sentiasa merahmati hubungan akrab dan istimewa antara Arab Saudi dan Malaysia ini, Insya-Allah.