22 Februari, 2016

40 Tahun


Alhamdulillah, malam semalam di Masjid Sultan Ahmad Shah Pekan saya dan ramai penduduk Pekan bersama-sama menghadiri majlis tahlil dan solat hajat sempena 40 tahun penglibatan saya dalam dunia politik.

Secara peribadi, saya dan keluarga ucap terima kasih kepada semua yang bersama-sama saya mengharungi rintangan dan mengecapi kejayaan selama 40 tahun ini.

Terima kasih juga kepada penduduk Pekan yang sentiasa memberi sokongan serta datang beramai-ramai semalam untuk majlis makan malam, solat berjemaah, membaca yassin serta solat hajat berdoa ke hadrat Allah SWT agar negara kita sentiasa dirahmati dan selamat.

Genap 40 tahun dahulu, pada 21 Februari 1976 di Pekan inilah bermulanya perjalanan politik saya apabila dilantik, menang tanpa bertanding sebagai Ahli Parlimen Pekan menggantikan ayahanda saya yang baru pulang ke rahmatullah ketika itu.

40 tahun perjalanan hidup, bagi mana-mana manusia, jika disingkap kembali tentu penuh dengan suka duka, asam garam serta pahit dan manis kehidupan. Tetapi Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk berkhidmat dan bekerja bagi penduduk Pekan dan Malaysia sehingga ke hari ini.

Saya akan terus berusaha, meningkatkan iltizam untuk buat yang terbaik untuk bawa Malaysia maju ke hadapan dan berjaya dengan lebih cemerlang, Insya-Allah.

40tahun1

40tahun2

40tahun3