Aspirasi #TN50 Tentang Keagamaan & Kerohanian

Transformasi Nasional 2050 atau TN50 adalah usaha kerajaan dan rakyat untuk mencorak masa depan negara bagi tempoh 30 tahun bermula 2020 hingga 2050. Tidak cukup sekadar menjadi sebuah negara maju, Malaysia harus menyasar untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam aspek ekonomi, kesejahteraan rakyat dan juga inovasi. Cita-cita ini sudah pastinya mampu dicapai sekiranya Kerajaan dan rakyat sama-sama menggembleng idea serta tenaga ke arah satu matlamat.

Baru-baru ini saya telah menjemput rakan-rakan online saya di Twitter serta Facebook untuk berkongsi aspirasi #TN50 dari sudut keagamaan dan kerohanian kerana aspek ini ia sangat penting dalam pembentukan peribadi individu, seterusnya memainkan peranan penting dalam pembangunan sahsiah dan identiti negara.

Jika kita lihat prinsip pertama Rukun Negara, pastinya Kepercayaan Kepada Tuhan menjelaskan hakikat bahawa ianya menjadi nadi pembinaan jati diri rakyat Malaysia. Prinsip ini membayangkan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia harus berpegang teguh kepada nilai-nilai murni yang diajar dan diterapkan oleh agama.

Apabila kita berpegang teguh kepada ajaran agama, maka ia dapat membentuk kehidupan yang sejahtera. Jelasnya, kita akan bertindak sebagai insan yang bertanggungjawab dan sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian negara, bermula dari ketaatan dan kepercayaan kepada agama masing-masing.

Saya mengucapkan terima kasih atas cadangan-cadangan yang telah diemel atau dikongsi di laman-laman media sosial saya. Sambutan yang menggalakkan ini menggambarkan semangat serta sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia, terutamanya daripada Generasi TN50 sendiri. Sepanjang bulan lepas sahaja, saya telah berjumpa dan berdialog bersama para penjawat awam, mahasiswa, belia dan juga para penggiat seni untuk sama-sama berkongsi pendapat dan aspirasi berkenaan TN50, dan Insya-Allah saya akan terus bertemu dengan anda semua demi mendapatkan lebih banyak feedback serta cadangan.

Suka saya berkongsi beberapa cadangan atau aspirasi yang telah diemelkan oleh rakan-rakan online saya sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak yang baru saja meninggalkan kita. Antara yang menarik perhatian saya adalah cadangan daripada Saudara Ahmad Khalid Yong yang mencadangkan agar umat Islam kembali merujuk kitab suci al-Quran sebagai sumber pengetahuan termasuk dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). Beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah “Quranpedia” yang boleh menjadi sumber rujukan dan pengetahuan bukan sahaja untuk rakyat Malaysia yang beragama Islam tapi juga bukan Islam yang berminat untuk mengkaji isi kandungan kitab suci al-Quran. Alhamdulillah, kita telah mengorak langkah dan melakukan pelbagai usaha ke arah memartabatkan al-Quran di bumi Malaysia ini, daripada pendekatan Wasatiyyah kita sehinggalah kepada pewujudan Komplek Nasyrul Quran di Putrajaya yang meletakkan status kita sebagai negara pengeluar dan pencetak al-Quran terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Seorang rakan online yang hanya menggunakan nama pena Puspasalamander pula mencadangkan agar pendidikan agama diadakan setiap hari di masjid-masjid atau surau-surau di seluruh negara kerana menurut beliau sekiranya pengetahuan agama dikukuhkan, Allah SWT akan membantu kita dalam menguruskan kebajikan serta keselamatan negara. Beliau turut mengusulkan agar dana untuk masjid-masjid dan surau-surau dapat diberikan atau ditambah lagi.

Saudara Joshua Chan pula mencadangkan agar lebih banyak dialog antara agama dianjurkan demi mewujudkan persefahaman yang lebih mendalam antara rakyat Malaysia yang berbeza agama, bangsa dan budaya. Cadangan ini mengingatkan saya kepada dialog TN50 yang kini giat berlangsung di seluruh pelusuk negara, satu platform dan medium dalam suasana santai, berinformasi dan terbuka bagi kita sama-sama melontarkan idea dan pendapat, demi kebaikan negara sendiri.

Selain itu, saudari Natasha Nor Jaafar mencadangkan agar subjek pendidikan moral di sekolah rendah dirombak semula dengan menerapkan unsur-unsur persefahaman antara agama sesuai dengan status Malaysia sebagai negara berbilang kaum, manakala saudari Cynthia mengutarakan pendapat beliau bahawa bangunan-bangunan keagamaan seperti masjid, kuil, gereja, gurdwara dan tokong lebih kerap menganjurkan aktiviti dan program yang mengajak masyarakat berbilang kaum untuk turut serta agar dapat kita kurangkan lagi jurang perbezaan antara rakyat Malaysia

Ini adalah sebahagian daripada banyak cadangan bernas yang telah saya terima melalui emel dari rakan-rakan online dan rakyat Malaysia yang prihatin mengenai masa depan TN50 kita.

Saya mengucapkan terima kasih atas cadangan-cadangan tersebut dan saya berharap agar lebih ramai lagi rakyat Malaysia akan mengambil bahagian dalam dialog TN50 demi mencapai matlamat kita menjadikan Malaysia antara negara teratas di tangga dunia dalam aspek ekonomi, kesejahteraan rakyat dan juga inovasi.