#BAJET2015 Terima Kasih Atas Penyertaan Anda

By August 25, 2014 Bajet2015, Blog
bajet-thank-you

Terima kasih atas penyertaan anda dalam perbincangan atas talian #Bajet2015.

Tahun ini adalah tahun keenam Kerajaan menjemput anda untuk turut serta dalam usaha memperkukuhkan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat, dan sekali lagi saya amat gembira dengan kualiti dan keluasan idea-idea yang disumbangkan dari seluruh Malaysia. Jika anda masih belum melihat cadangan-cadangan ini, anda boleh membacanya di https://najibrazak.com/live1/Bajet2015.

Saya sentiasa menekankan bahawa era ‘kerajaan lebih mengetahui’ sudah lama berakhir. Idea, kebimbangan serta keperluan anda sentiasa diutamakan dalam usaha kita merangka sebuah bajet nasional yang inklusif, seimbang dan bertanggungjawab. Sumbangan-sumbangan yang diterima adalah bukti bahawa rakyat Malaysia – tidak kira tua atau muda – boleh bekerjasama dengan kerajaan untuk merangka dasar-dasar inklusif yang membawa manfaat kepada semua. Jika kita terus bersatu, kita mampu capai impian yang kita kongsi bersama.

Kita semakin hampir ke destinasi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Ekonomi kita terus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, dan taraf kehidupan pula semakin meningkat. Ini bukanlah bererti kita tidak akan menghadapi halangan-halangan sepanjang perjalanan kita. Namun jika kita bekerja bersama-sama, kita bukan sahaja mampu mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, kita juga boleh mencapai ekonomi berkualiti tinggi – iaitu apabila setiap orang berkongsi manfaat pertumbuhan ekonomi.

Sekali lagi, saya menghargai cadangan-cadangan anda semua. Insya-Allah, pada tanggal 10 Oktober 2014, saya akan membentangkan #Bajet2015 di Dewan Rakyat. Laporan Tahunan Ekonomi Negara untuk 2014 turut akan dibentangkan pada hari yang sama, dan nampaknya ia menunjukkan pencapaian yang membanggakan. Saya percaya, dengan bantuan anda semua, #Bajet2015 akan terus merangsang pertumbuhan, memperbaiki kedudukan fiskal negara dan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Najib Razak