Balik Kampung 17 Disember

By December 20, 2016 Blog, Featured Articles
Pekan TB

Pada hari Sabtu hujung minggu yang lalu, saya pulang ke kampung, meninjau keadaan di sana dalam kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Pekan. Memang seronok dapat balik kampung dan berjumpa dengan rakan-rakan dan penduduk kampung, ramai daripadanya saya kenal sejak muda lagi.

Namun begitu saya mulakan lawatan kali ini dalam suasana yang agak menyedihkan, bertemu dan menyampaikan takziah kepada Mohd Rasid, bapa 3 beradik mangsa lemas di Kampung Permatang Jerek awal bulan Disember ini.

Beliau masih terlalu sedih dengan tragedi yang berlaku, dan sebagai bapa saya hanya mampu bayangkan apa yang beliau dan isteri sedang lalui.

Pekan Pic 1

Saya doakan semoga keluarga redha dan tabah hadapi dugaan ini, dan semoga roh Nor Aleeza Marliyana, Mohamad Firdaus, dan Nor Alia Mardiana sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Al-Fatihah.

Saya melawat Puan Bidah Hamid di rumah beliau di Kampung Sepauk seterusnya. Puan Bidah dah lima tahun tak boleh berjalan akibat lumpuh, tetapi beliau masih begitu bersemangat, seronok dapat bersembang dengan beliau. Semoga Puan Bidah Hamid sentiasa dalam peliharaan Allah SWT, Insya-Allah.

Pekan Pic 2

Saya seterusnya melakukan tinjaun ke beberapa lokasi berhampiran, bermula dengan Bangunan Kompleks LKIM Nenasi dan jeti di situ, sebelum menuju ke bilik gerakan UMNO yang terletak berhampiran.

Tergantung di dinding sekeping foto lama dari 1974, ketika Allahyarham Ayahanda saya Tun Abdul Razak datang melawat kampung ini. Masa itu saya baru berumur 21 tahun, 2 tahun sebelum Ayahanda pulang ke rahmatullah.

42 tahun kemudian, saya pula ke sini, di tempat Allahyarham Ayahanda saya.

Pekan Pic 3-2 Pekan Pic 3-1

Dari bilik UMNO tadi, dah dekat dengan lokasi majlis seterusnya. Saya berjalan bersama orang kampung di pesisiran pantai, gembira lihat ramai di sini, ada anak-anak kecil bermain bola sepak pantai, ada yang naik basikal, tak kurang juga ibu bapa yang bawa anak-anak hirup udara segar tepi laut.

Dalam majlis ramah mesra bersama penduduk setempat, saya telah umumkan beberapa perkara bagi bantu keperluan mereka di sini, antaranya peruntukan RM50 juta bagi tangani masalah air di Nenasi, selain RM5 juta untuk masalah hakisan pantai berdekatan SJK (C) Kee Wha. Saya juga luluskan RM 500 ribu bagi pembelian mesin ais untuk para nelayan di sini.

Pekan Pic 4

Di sebelah petang, saya menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar di Kg Pulau Jawa. Program ini adalah satu lagi daripada usaha kerajaan bagi golongan B40, di mana kita beri bantuan bina rumah baru, setiap unit keluarga menerima geran berjumlah RM40 ribu.

Usaha sebegini, sama dengan usaha bantuan lain seperti Rumah Mesra Rakyat, BR1M, bantuan persekolahan, bantuan untuk nelayan, pekebun, subsidi minyak masak paket 1 kilogram dan banyak lagi dapat dilaksanakan kerana dasar fiskal kerajaan yang dirancang rapi yang mampu menyediakan dana mencukupi bagi terus membangunkan negara tanpa mengabaikan golongan B40 dalam mahupun luar bandar.

Pekan Pic 5

Dari majlis ini, saya terus ke GIATMARA Pekan, melawat bangunan baharu mereka yang lebih besar dan canggih, selain bertemu dengan para pelajar dari pelbagai bidang, seorang itu berkongsi nama sama dengan saya, Mohd Najib bin Abdul Razak!

Pekan Pic 6

Tonton video lawatan YAB PM ke GIATMARA Pekan – Admin

Lawatan saya balik kampung kali ini, sama seperti lawatan-lawatan saya setiap kali ke Pekan, bagi saya bagai sirih pulang ke gagang.

Seronok dapat balik kampung, bersua muka dengan rakan, sahabat, orang kampung saya. Bak kata orang tua-tua, tempat jatuh lagi dikenang, inikan lagi tempat bermain.