22 April, 2017

Balik Kampung 22 April


Alhamdulillah, selesai lawatan pulang ke Pekan hari ini, bertemu dengan ramai orang kampung halaman, daripada rakan-rakan seperjuangan sehinggalah kepada anak-anak muda yang lulus cemerlang dalam peperiksaan.

Setibanya saya di Pahang awal pagi tadi, saya dijadualkan untuk merasmikan sebuah majlis, tetapi saya ambil keputusan untuk singgah dahulu menziarahi saudara Zainudin Sulong yang terlantar sakit di rumah beliau di Kampung Telok, Pekan.

Saudara Zainudin dahulu Setiausaha Cawangan UMNO Kampung Telok, dan aktif ketika zaman Allahyarham Ayahanda saya. Sedih lihat beliau kini terlantar sakit akibat strok.

Saya doakan semoga segalanya dipermudahkan dan saudara Zainudin sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.

Seterusnya, saya berbesar hati merasmikan penyerahan sebuah projek InfraRakyat berimpak tinggi dan memberikan manfaat besar kepada penduduk di sekitar kawasan, yakni projek Loji Rawatan Air Ganchong.

Loji ini yang telah mula beroperasi bulan lalu, menjamin bekalan air yang mencukupi sebanyak 80 juta liter setiap hari untuk kegunaan komersial dan domestik.

Saya ucapkan tahniah kepada ECERDC dan semua pihak yang terlibat kerana berjaya menyiapkan projek mengikut jadual dan bajet.

Bukan itu sahaja, ECERDC juga harus diberi pujian kerana berjaya membantu ramai golongan B40 untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui pelaksanaan program pembangunan modal insan seperti empower ECER, entrepreneur ECER dan Agropolitan.

Malah di majlis sama, saya turut serta meraikan peserta-peserta cemerlang Agropolitan Pekan dari Batu 8, Lepar, para peserta cemerlang empower ECER dari daerah Pekan, dan juga usahawan cemerlang program entrepreneur ECER.

Suka saya kongsikan kisah Encik Zulkefle Amin bin Salleh, peserta Agropolitan dan bapa kepada lima orang anak. Setelah mengikuti program ini, beliau berjaya meningkatkan pendapatannya sebanyak tiga kali ganda kepada RM1,500 sebulan berbanding RM500 sebelum ini.

Saya juga ingin berkongsi kisah yang membuatkan saya rasa bangga dan terharu, iaitu kisah Choi Ah Bob a/l Choi Koi Onn, anak Orang Asli yang berjaya cemerlang dalam SPM dengan 6A.

Meskipun berdepan pelbagai dugaan, paling perit sekali apabila kehilangan ayah tercinta, beliau tidak pernah berputus asa, sebaliknya terus berusaha.

Kita akan terus bantu Ah Bob melalui program Latihan Akademik empower ECER, di mana beliau akan menyambung pengajiannya ke menara gading dan menunaikan impian mendiang bapanya untuk beliau menjadi seorang guru. Saya yakin beliau mampu !

Insya-Allah, ini cuma sebahagian daripada banyak lagi projek InfraRakyat dan inisiatif pembangunan modal insan bersifat menyeluruh yang akan terus kerajaan Barisan Nasional laksanakan demi rakyat semuanya, tanpa mengira latar belakang.

Di sebelah tengah hari pula, saya merasmikan Seminar Ibu Bapa & Komuniti serta Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM bagi Parlimen Pekan.

Saya tekankan betapa pendidikan adalah komponen paling penting dalam membolehkan kita mengubah nasib dan masa depan kita. Malah lebih daripada itu, untuk membangunkan negara bangsa pun haruslah berpaksikan kepada ilmu pengetahuan.

Oleh itu, bagi saya program seminar ini yang melibatkan ibu bapa dan komuniti dalam memacu kecemerlangan pendidikan adalah amat baik, kerana andainya sesebuah komuniti setempat itu menjadi penyokong padu dan kuat, nescaya pencapaian pelajar juga akan berada di tahap lebih tinggi.

Di kesempatan sama, tahniah saya ucapkan kepada sekolah-sekolah dan para pelajar yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan masing-masing, teruskanlah kecemerlangan ini dan ingatlah, pendidikan tidak akan pernah berhenti, sentiasa ada perkara baru untuk dipelajari saban hari.

Sebelum pulang ke ibu kota, saya singgah menziarahi rakan lama saya, Mantan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Haji Faisal bin Haji Abdullah di kediaman beliau di Medan Tok Sira.

Walaupun komplikasi daripada penyakit kencing manis menyebabkan tangan kiri beliau terpaksa dipotong tidak berapa lama dahulu, tetapi sewaktu berjumpa tadi beliau cukup bersemangat dan ceria, bersembang mengenai kisah waktu muda-muda kami dahulu.

Secara peribadi, bagi saya beliau seorang pejuang UMNO Pahang yang cukup hebat dan perlu kita banggakan. Begitu banyak telah beliau korbankan untuk parti, negeri dan negara, dan saya doakan beliau terus dirahmati dan dalam perlindungan Allah SWT.

Alhamdulillah, seperti biasa setiap kali pulang ke Pekan, melawat kawasan kampung halaman cukup menggembirakan bagi saya, banyak yang telah berjaya kita capai untuk kawasan dan masyarakat di sini.

Insya-Allah, masih banyak yang boleh kita lakukan, dan saya akan terus berkhidmat untuk kawasan parlimen Pekan, untuk Negaraku tercinta dan yang paling utama, untuk rakyat Malaysia kesemuanya.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles