3 Disember, 2016

Bersatu, Bersetia, Berkhidmat


Alhamdulillah, persidangan tahunan UMNO kali ini telah sampai ke penghujungnya. Saya tidak pernah putus daripada hadir di setiap persidangan sejak 1976, tetapi bagi saya persidangan tahun ini adalah yang terbaik pernah saya hadiri.

Ini adalah kerana, sekiranya kita imbau tahun lalu, suasananya berbeza, boleh rasakan ketegangan di dalamnya. Tetapi hari ini saya berasa tenang, saya berasa amat serasi kerana barisan kepimpinan UMNO hari ini bersatu-padu, kukuh, komited dan wala’ kepada pucuk pimpinan dan perjuangan parti keramat kita.

Daripada Naib-naib Presiden, Ketua-ketua Wanita, Pemuda dan Puteri, hinggalah ke barisan ahli Majlis Tertinggi, inilah pasukan pimpinan yang akan turun gelanggang berjuang habis-habisan bersama-sama semua perwakilan.

Parti UMNO kini bagi saya telah bersedia, dengan roh perjuangan dan iltizam baharu untuk menghadapi apa jua rintangan mendatang. Kita telah selesaikan masalah dalaman, kita telah usir semua duri dalam daging yang membelenggu kita sebelum ini.

010

Saya berpesan kepada perwakilan semua, kita ada kekuatan, tetapi kita tidak boleh leka. Meskipun kita menang besar, di Sarawak, Sungai Besar, Kuala Kangsar, kita tidak boleh menjadikan ini penanda aras kepada Pilihanraya Umum akan datang. Kemenangan satu dua tidak semestinya bererti kita boleh menang ujian besar nanti.

Keduanya, kita jangan pandang enteng kepada musuh kita. Dalam politik ini, kita tidak boleh sesekali pun pandang rendah kepada musuh, walau musuh itu baru setahun jagung atau telah meniti senja. Satu-satunya cara untuk pastikan kejayaan kita adalah untuk kita bekerja keras sebagai satu pasukan, dalam satu ikatan yang tersimpul mati di semua peringkat, dari atas hingga ke bawah bersama-sama.

Persidangan UMNO saban tahun menerima ramai pemerhati luar, dan tahun ini sahaja kita terima 109 delegasi asing daripada 29 negara. Mereka menyatakan kepada saya bahawa mereka kagum dengan cara dan budaya parti kita. Parti UMNO bukan sahaja melihat kepada isu dalaman parti, tetapi sebagai sebuah parti kita berjiwa besar, kita menjaga kepentingan bukan sahaja 3 juta ahli UMNO, bahkan untuk 31 juta rakyat Malaysia.

Lebih daripada itu, parti UMNO berjiwa besar sehingga turut terkesan dengan masalah yang membelenggu etnik Rohingya di Myanmar. Oleh itu, saya sebagai Presiden parti yang mewakili 3 juta ahli UMNO, akan menghadiri rapat umum bersolidariti menentang penindasan terhadap etnik Rohingya di Stadium Titiwangsa bersama-sama dengan Presiden PAS pada pagi Ahad.

Seperti setiap persidangan juga, ada banyak usul dan cadangan yang telah dikemukakan oleh para perwakilan. Saya dan rakan-rakan di barisan pimpinan tertinggi UMNO ambil perhatian serius kepada semua isu-isu yang telah dibangkitkan, kita prihatin akan hal dan permasalahan yang dihadapi rakyat.

Saya terangkan kepada perwakilan tadi, salah satu daripada mesej utama yang ingin saya sampaikan secara keseluruhan, atau “Big Picture” adalah keadaan ekonomi negara. Hari ini, ekonomi kita bernilai RM 1.3 trilion. Perancangan Kerajaan adalah untuk meningkatkan ekonomi negara kepada RM 2 trilion.

Berdasarkan pengiraan, kalau kita secara konsisten tumbuh pada kadar 5% setahun, kita akan ambil masa cuma 7 tahun untuk capai sasaran tersebut.

Oleh kerana itulah kita buat pelbagai projek besar yang berpaksikan rakyat, antaranya Kereta Api Laju KL-Singapura, MRT, LRT, ECRL, Lebuhraya Pan Borneo, Pengerang, Bandar Malaysia dan banyak lagi.

Bila terlaksana projek-projek ini semuanya, dalam 7-8 tahun akan datang Insya-Allah, ekonomi kita akan meningkat, pendapatan per kapita bertambah, hasil Kerajaan bertambah. Manfaat daripada ini semua adalah untuk rakyat jua.

021

Saya juga mendengar keluh-kesah mengenai kos sara hidup. Sebagai sebuah Kerajaan kita prihatin, dan kita telah melakukan apa yang boleh dilakukan di dalam bidang kekuasaan kita. Misalnya di Malaysia, kos perubatan berkualiti amat rendah, dengan hospital-hospital Kerajaan yang mengenakan cas minimum, perkhidmatan Klinik 1Malaysia dan banyak lagi.

Berkaitan barangan runcit, kita sentiasa pantau dan kawal. Kita masih beri subsidi kepada banyak barangan, dan harga di Malaysia masih antara yang termurah di ASEAN. Keputusan yang kita ambil adalah untuk mengelakkan kerugian bukan sahaja untuk pihak kerajaan bahkan untuk rakyat sendiri. Minyak masak misalnya, kita ingin memastikan tiada ketirisan berlaku.

Selain daripada itu kita juga memberikan subsidi bersasar melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia, dan menunaikan impian rakyat memiliki kediaman dengan pelbagai projek perumahan bersubsidi seperti Rumah Rakyat 1Malaysia, Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, Projek Rumah Transit Belia, MyBeautiful New Home dan banyak lagi.

Ini semua adalah bukti keprihatinan kerajaan, antara langkah kita dalam merealisasikan hasrat memajukan negara dan mencapai cita-cita Malaysia sebagai antara 20 ekonomi terbaik dunia.

Tetapi kita hanya boleh mencapai semua itu sekiranya kita kekal memegang tampuk pemerintahan negara. Oleh kerana itu jugalah, saya menyeru kepada semua perwakilan dalam ucapan penggulungan tadi, dan juga kepada semua ahli UMNO, janganlah kita sia-siakan harapan anak cucu keturunan kita, kerana sekiranya kita kehilangan anggota tubuh dalam perjuangan tidak mengapa, tetapi andai kita hilang maruah bangsa, hancur punahlah hilang semuanya.

Ayuhlah kita rapatkan saf, kita bersatu-padu dengan teguh, demi UMNO, demi Islam, demi negara.

Hidup UMNO!
Hidup BN!
Hidup Malaysia!

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, PAU2016