Buruan Emas Rio Belum Berakhir

By September 5, 2016 Blog, Featured Articles

Saya menulis ini dalam perjalanan saya dari Malaysia ke Laos, dan saya harap ia akan dapat beri semangat kepada para atlet luar biasa kita yang akan berjuang nun jauh di bumi Brazil.

Dalam sejarah Malaysia, terdapat banyak detik kebersamaan sesama kita, atau saya gelar moments of unity, yang telah menyatu-padukan kita semua tanpa mengira kaum, agama mahupun adat resam.

Contoh terbaik baru-baru ini adalah apabila para atlet kita berjuang membawa nama negara di pentas Olimpik Rio, sorak-sorai rakyat Malaysia bergema di setiap pelusuk negara memberikan sokongan kepada mereka. Tetapi perjuangan menjulang nama negara dan mengecap kilauan emas di bumi Rio masih belum berakhir.

Perjuangan ini akan disambung oleh 21 atlet Paralimpik kita yang akan membawa nama negara bermula 7 September ini dalam acara olahraga, ping pong, pelayaran, powerlifting, berbasikal, renang, memanah dan wheelchair tennis.

Mari semua rakyat Malaysia kita berikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada atlet-atlet luar biasa kita yang akan mengerah tenaga dengan impian untuk mendengar Negaraku berkumandang di bumi Rio di bawah kibaran Jalur Gemilang.

Kepada para atlet Paralimpik negara, saya yakin dan percaya, kesemua anda akan berusaha sehabis baik untuk menjulang nama negara, dan ingatlah bahawa walaupun anda di bumi Rio yang beribu kilometer jauhnya dari Malaysia, sokongan rakyat Malaysia tetap akan bersama setiap titik keringat yang anda titiskan untuk negara.

Ada pingat atau tanpa pingat, kesemua anda adalah kebanggaan negara sebelum bertolak pergi, dan anda semua akan pulang sebagai wira dan wirawati, itu pasti.

Selamat berjuang!