10 Jun, 2015

Dialog PM bersama NGO-NGO


Pada 19 Mei 2015, saya telah menerima jemputan untuk hadir ke satu majlis dialog tertutup bersama NGO NGO yang ditentukan oleh pihak penganjur iaitu Sukaguam dan JASA. Saya hargai jemputan mereka dan setuju untuk hadir ke majlis yang dinamakan “Dialog PM bersama NGO” ini untuk berdialog mengenai isu isu semasa. Sesi dialog ini, antaranya, akan menjelaskan bahawa wang 1MDB sebanyak RM42 bilion tidak lesap sebagaimana yang telah didakwa oleh Tun Mahathir. Dalam hal ini, sukacita saya memaklumkan bahawa pihak Kementerian Kewangan bersama sama 1MDB telah menjana satu pelan rasionalisasi untuk mengurangkan tahap hutang syarikat tersebut. Baru baru ini, 1MDB telah berjaya membuat pembayaran sebanyak RM3.6 bilion ke arah mencapai matlamat ini. Namun, amat dukacita apabila usaha ini tidak disambut baik oleh pihak yang mengkritik hutang 1MDB.

Seterusnya, majlis ini telah bertukar format; daripada satu majlis dialog tertutup kepada majlis pembahasan terbuka. Perubahan-perubahan seperti ini akan mengakibatkan majlis ini menjadi pencetus konfrontasi politik terbuka antara Tun Mahathir dengan saya.

Sebagai seorang Perdana Menteri, memang tidak wajar untuk debat seperti ini diadakan secara terbuka di khalayak ramai dengan bekas Perdana Menteri, dan dari parti politik yang sama. Ianya tidak membawa sebarang kebaikan kepada Umno dan Barisan Nasional. Saya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, bertanggungjawab untuk menjaga nama baik Kerajaan dan parti. Tun Mahathir berhak bertanya dan saya sanggup memberi penjelasan kepada beliau. Ini saya lakukan agar perkara munasabah yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir dapat dijelaskan.

Saya kesal acara tersebut terpaksa dibatalkan atas alasan keselamatan dan niat saya untuk berdialog dengan badan badan NGO yang dijemput tidak dapat diteruskan. Walaubagaimanapun, saya akan terus menyampaikan maklumat dalam apa jua cara yang baik dan berhemah. Ini termasuklah menerima undangan NGO NGO, dan saya akan berjumpa dengan kumpulan NGO NGO dalam masa yang akan datang ini.