29 November, 2016

Edisi Khas Soal Jawab Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016


Soalan: Di sebalik landskap ekonomi yang masih mampu bertahan dan pengurusan kewangan negara yang terkawal ini, masih ada suara-suara di luar sana yang mencanangkan bahawa Malaysia akan menjadi bankrap. Datuk Seri, adakah kita menuju ambang kebankrapan?

Jawapan: Tentu sekali tidak. Sebab apa yang didakwa oleh sekumpulan kecil ini di luar tidak disokong dengan fakta, dengan kenyataan yang sahih. Kita mencapai kadar pertumbuhan 4.3 peratus. Secara kebetulan, saya bersembang dengan bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dua malam yang lalu dan dia tanya tentang keadaan ekonomi Malaysia. Saya kata, “Malaysia… ekonomi kita berkembang 4.3 peratus suku ketiga 2016.” Dia kata, “Oh, kalau begitu, ekonomi Malaysia ini sangat baik.

Pada saya, AS ekonominya berkembang satu peratus. Saya hendak mencapai empat peratus.” Jadi, itu reaksi spontan daripada bakal Presiden AS. Saya baru balik dari menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC). Di APEC, saya bertemu dengan wakil Moody’s. Wakil Moody’s tidak menegur saya pun. Kalaulah kita menjurus kepada ekonomi yang akan bankrap, sudah tentu badan penarafan seperti Moody’s, wakilnya di situ, tentu dia akan beritahu saya, mereka melihat bahawa keadaan ini memang akan membawa kepada kemudaratan kalau kita tidak melakukan sesuatu.

Saya jumpa dengan Christine Lagarde, Ketua Eksekutif Tabung Kewangan Dunia (IMF). Christine Lagarde tidak pun membayangkan bahawa kita dalam keadaan krisis. Jadi, bila saya lihat ini semua dan disokong dengan fakta, kenyataan maka maknanya apa yang berlaku bila ada dakwaan kononnya kita akan jadi negara yang gagal, kita akan bankrap, semata-mata merupakan serangan politik. Inilah yang mesti kita jelaskan kepada rakyat bahawa mereka tak boleh percaya apa yang tidak disokong dengan kenyataan, dengan fakta, lebih-lebih lagi kenyataan dan fakta ini datang daripada pihak yang tidak ada kepentingan seperti agensi-agensi penarafan, Bank Dunia, IMF, Bloomberg dan sebagainya. Ulasan mereka, analisis mereka itu adalah sebenarnya lebih tepat daripada apa sahaja yang didakwa oleh mana-mana pihak yang bermotifkan politik.

Soalan: Perhimpunan Agung UMNO tahun ini berlangsung ketika dunia menyaksikan peristiwa baharu yang lebih mencabar dan iklim ekonomi global yang berubah-ubah. Antaranya, harga minyak dan komoditi utama yang masih tidak menentu, kesan Brexit, pengukuhan dolar AS berbanding mata wang lain dan pelantikan Donald Trump sebagai bakal Presiden AS bermula Januari depan. Yang mungkin timbul dasar-dasar baharu yang memberi impak negatif kepada hala tuju perdagangan dan keselamatan serantau. Bagaimana Datuk Seri melihat kesan daripada perkembangan situasi ekonomi, geopolitik dan krisis global ini kepada Malaysia?

Jawapan: Sebenarnya, perkembangan ini berlaku di mana? Ini berlaku di luar. Ini berlaku di AS, berlaku di Eropah, berlaku di negara lain. Di AS, sistem demokrasi mereka telah memilih Presiden baharu. Presiden baharu belum lagi ambil alih jawatannya. Tetapi dalam waktu kempen dia telah menyatakan, sekiranya dia dapat menjadi Presiden, dia akan melakukan perkara-perkara tertentu yang mana perkara-perkara tersebut sekiranya dilaksanakan tentu sekali akan timbul kebimbangan dan reaksi yang negatif dalam kalangan negara lain.

Saya lihat realitinya bahawa bakal Presiden AS, Donald Trump sudah sedar bahawa bukan semua kenyataan yang dibuat semasa kempen mampu dilaksanakan. Itu realiti. Sekarang ini dia dalam proses memikir apa sebenarnya yang dia akan lakukan bila dia ambil alih pada Januari tahun hadapan. Jadi, pada saya, kita dalam keadaan ketidaktentuan sekarang ini. Tetapi kita tidak boleh membuat sesuatu kesimpulan terlalu awal… untuk kita membuat sesuatu kesimpulan apakah sebenarnya dasar baharu kerajaan atau pun pentadbiran Donald Trump. Tetapi pasaran sudah pun bertindak balas. Misalnya, jangkaan kenaikan kadar faedah di AS dan dasar-dasar tertentu membawa implikasi kepada dunia, bukan sahaja kepada Malaysia.

Saya bincang pagi tadi dengan Gabenor Bank Negara. Saya tengok cartanya, ada mata wang lain yang prestasinya lebih buruk daripada ringgit. Ada yang lebih baik. Kita duduk di tengah-tengah dan ini bakul kita tengok dari segi bakul mata wang, kita tidak menurun sangat. Cuma dengan dolar AS. Ini adalah kerana kesan luaran yang di luar daripada kawalan kita. Jadi, saya harap rakyat jangan terkelirulah sebab ini faktor di luar kawalan kita tetapi apa yang kerajaan akan lakukan adalah untuk mengawal faktor-faktor yang boleh kita kawal dan mencari peluang-peluang pelaburan umpamanya. Sebab itu saya pergi ke Jerman, saya pergi ke China, saya pergi ke Jepun, untuk apa? Untuk bawa balik pelaburan ke Malaysia dan inilah usaha-usaha yang mampu dan boleh kita lakukan.

Soalan: Dalam usaha membawa balik pelaburan ini, sekali lagi ada serangan politik termasuk Datuk Seri ke China dengan pelaburan yang begitu besar. Memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani RM144 bilion. Tetapi serangan politik pula cuba mengaitkan ini dengan cubaan menggadaikan negara kepada China. Itu terus dimainkan. Apa respons Datuk Seri terhadap serangan-serangan sebegini?

Jawapan: Mudah sahaja. Kalau kita tak bawa masuk pelaburan, dia kata kita gagal. Kalau kita bawa balik masuk pelaburan, dia kata kita gadai. Jadi, ini mainan politik. Bila masa masuk pelaburan jadi soal kedaulatan? Selama ini tak timbul. Apa bezanya pelaburan dari Jepun, dari AS, dari Eropah dengan pelaburan dari China?

Ini pelaburan. Bila ada pelaburan, ada penjanaan ekonomi. Bila ada penjanaan ekonomi, adalah peluang pekerjaan. Adalah pemindahan teknologi. Adalah syarikat-syarikat yang boleh memperoleh kerja peringkat subkontrak sampailah kepada Kelas F dan sebagainya. Kita akan tentukan kandungan tempatan. Kandungan tempatan yang sesuai peratusannya. Ini dasar kerajaan. Jadi, janganlah kita termakan dengan dakyah sebegitu sebab dakyah sebegitu sekali lagi tak masuk, apa orang kata, dalam aliran pemikiran yang rasional sebenarnya.

Soalan: Satu lagi yang menarik minat masyarakat Malaysia tentang pelaburan dari China ini adalah projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL). Ramai yang mengelirukan angka RM55 bilion sebagai terlalu mahal. Bagaimana Datuk Seri melihat andaian-andaian sebegini?

Jawapan: Tak betul, sebab mereka kena sedar bahawa tiap-tiap satu projek itu ada dia punya keunikan terutama sekali dari segi topografinya. Kalau kita terpaksa buat terowong umpamanya, kalau kita terpaksa melalui kawasan-kawasan paya sebagainya, tentu sekali kita perlu kos tambahan.

Namun, sebagai sebuah kerajaan, kita akan buat penanda aras, buat penilaian berdasarkan projek-projek di tempat-tempat yang lain dan kita akan buat pengurusan nilai dan kita akan pastikan projek ini harganya nanti merupakan harga yang boleh kita pertahankan. Kita akan dapat nilai untuk wang. Itulah proses yang akan kita lakukan sebab kalau kita lihat keseluruhannya termasuk pembiayaan akan diberikan oleh Exim Bank of China dengan terma-terma yang cukup menarik.

Maka, projek ini boleh kita perlihatkan sebagai satu projek yang boleh merangsang ekonomi kita. Ikut pada perkiraan kita, bila terlaksananya ECRL ini, ekonomi Pantai Timur ini, boleh tumbuh. Pertumbuhannya bertambah 1.5 peratus dari segi pengeluaran kasar bagi ketiga-tiga negeri yang terlibat dan apatah lagi, bila hubungannya dengan Pelabuhan Klang, sudah tentu banyak lagi kegiatan-kegiatan ekonomi dapat kita rangsangkan melalui pelaksanaan projek ini. Kita pun perlu juga kesalinghubungan sebab kalau tak ada kesalinghubungan, tak boleh membuka kawasan-kawasan seperti di Pantai Barat ini dan kawasan Pantai Timur ini perlu suntikan kerana kalau tidak, akan berlaku jurang. Pantai Barat ini kadar pertumbuhannya akan lebih tinggi daripada Pantai Timur. Jadi, kita hendak mengimbangi. Ini salah satu projek besar yang boleh merapatkan jurang antara Pantai Barat dan Pantai Timur.

Soalan: Kita banyak bercakap soal ekonomi makro dan menariknya, pelaburan yang cuba diusahakan di bawah kepemimpinan Datuk Seri itu mungkin kesan dan dampaknya jangka panjang. Tetapi kebimbangan dan keresahan utama rakyat termasuk hingga kini adalah kos sara hidup. Pelbagai langkah telah cuba Datuk Seri perkenalkan namun itu masih menjadi tekanan yang berbekas di psikologi mereka.

Jawapan: Kalau kita lihat dari segi kadar inflasi, inflasi negara kita dalam kadar dua peratus sahaja. Jadi, kalau kita lihat paras harga kalau naik dua peratus, tidaklah sepatutnya soal kos sara hidup ini menjadi sesuatu isu yang besar.

Sebaliknya, saya sedar bahawa ia menjadi satu yang dalam minda rakyat, boleh katakan secara menyeluruh. Oleh itu, kita perlu tangani ini dengan beberapa langkah serta program yang telah dan akan kita lakukan. Umpamanya, saya beri contoh, bila kita naikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,200, ini akan membantu rakyat untuk memperoleh sekurang-kurangnya barang-barang keperluan asas mereka. Itu satu yang kita kena ambil kira.

Selepas itu, projek-projek perumahan mampu milik umpamanya. Itu satu lagi punca. Dan juga subsidi yang kerajaan terus kekalkan dalam bidang kesihatan, dalam bidang pendidikan, rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan sebagainya, Klinik 1Malaysia. Jadi, banyak yang telah kita lakukan sebenarnya untuk menangani soal kos sara hidup ini.

Soalan: Kita dapati UMNO telah pun wujud selama 70 tahun dan terus diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah, ia bukan sahaja sebagai sebuah parti politik tetapi telah menjadi institusi politik. Bergerak ke hadapan apakah yang harus UMNO lakukan untuk menyesuaikan peranannya sesuai dengan perubahan zaman teknologi, keperluan dan juga aspirasi ahli-ahli parti dan rakyat agar UMNO terus kekal teguh dan terus melaksanakan amanah rakyat?

Jawapan: Saya lihat risalah UMNO ataupun messaging UMNO mungkin kita perlu mencari wahana yang lebih sesuai untuk kita propagate, untuk kita terangkan kepada rakyat sebab terlalu banyak dalam media sosial, terlalu banyak misinformation, terlalu banyak pembohongan, terlalu banyak separuh benar, separuh tidak benar dan sebagainya.

Jadi rakyat terkeliru ataupun rakyat tertipu. Oleh itu kita perlu memperhebatkan lagi usaha kita dengan menggunakan pelbagai kaedah dan saluran supaya cerita positif, cerita baik yang kita lakukan sampai ke pengetahuan rakyat. Saya lihat masih ada gap lagi yang memerlukan kita usahakan secara lebih intensif lagi dan UMNO sebagai sebuah parti kenalah bersikap inklusif. Kita tidak boleh menumpu kepada golongan tertentu sahaja.

Misalnya kita jaga penyokong-penyokong setia, penyokong tegar kita sahaja, kita tiada engagement dengan kumpulan-kumpulan yang lain. Jadi saya mahu UMNO ini merupakan parti yang lebih inklusif.

Ketiganya kita mesti tahu apa dia suara rakyat. Saya selalu sebut tentang merasai denyut nadi rakyat, maknanya kita mesti tahu adakah ada kelompok-kelompok yang tidak puas hati sebab berdasarkan kepada kesan pilihan raya di Amerika Syarikat dan Brexit, mereka underestimate sesuatu kumpulan atau golongan yang agak besar yang telah merasakan diri mereka terpinggir, dengan proses globalisasi, dengan proses teknologi dan sebagainya.

Mereka telah meletakkan kesalahan ini kepada pemimpin-pemimpin di Washington misalnya. Dalam soal Brexit pula, mereka memilih atas isu-isu lain, bukan semata-mata soal sama ada nak kekal dalam EU atau tidak. Jadi, banyak faktor seperti ini yang kita mesti tahu sebenarnya. Jadi, itulah yang saya kata, saya nak tegaskan bahawa UMNO mesti memahami landskap politik negara kita untuk kita akhirnya menentukan apa langkah-langkah yang tepat.

Soalan: Kalau kita renung-renungkan dan kita lihat secara mendalam Pakatan Harapan didokong oleh DAP manakala Barisan Nasional (BN) didokong oleh UMNO, sejauh manakah kemaraan Pakatan Harapan ini dengan gabungan parti-parti baharu boleh memberi impak kepada BN?

Jawapan: Kita mesti beritahu kepada rakyat bahawa alternatif kepada BN yang ditunjangi oleh UMNO ialah Pakatan Harapan yang mana ditunjangi oleh DAP. Rakyat mesti tahu apa dia dasar perjuangan dan pendirian DAP? Apa dia? Sudah tentu mereka akan cuba melenyapkan agenda bumiputera umpamanya, mereka tidak akan menyokong apa-apa yang boleh bersangkut paut dengan agenda bumiputera, itu satu hakikat.

Soal kedudukan Islam umpamanya. Kita nak membangunkan Islam, kita nak meninggikan syiar Islam, apakah pendirian DAP dalam hal ini? Jadi ini semua mesti kita ambil kira sebab kita cuma ada dua pilihan sahaja, sama ada BN yang ditunjangi UMNO dengan rakan-rakan kita ataupun Pakatan Harapan yang dulu Pakatan Rakyat sebab telah tendang PAS keluar, yang tunjangnya DAP.

Soalan: Pada masa yang sama Datuk Seri, pengkritik dan pengecam UMNO ini sedia mengaitkan dengan isu-isu sensitif melibatkan soal kaum dan agama yang tujuannya barangkali untuk menakut-nakutkan rakyat, tentangan ini berlaku kerana Datuk Seri merupakan Presiden dan juga Perdana Menteri. Jadi bagaimana Datuk Seri melihat hal-hal ini?

Jawapan: Mereka tidak boleh mengukur UMNO itu melalui kaca mata perbuatan atau tindakan yang dilakukan oleh satu dua pemimpin UMNO. Apa yang mereka lakukan, kalau mereka tidak senang hati itu bukan UMNO, sebab itu tindakan individu atau kumpulan yang kecil. Mereka mesti lihat apa dia dasar UMNO. UMNO akan terus kekal sebagai sebuah parti yang mengamalkan dasar-dasar yang sederhana, yang berasaskan kepada prinsip wasatiyyah dan kita merupakan parti yang progresif, parti yang akan membawa transformasi atau perubahan dalam konteks sistem yang sedia ada.

Soalan: Datuk Seri, bercakap tentang soal memahami denyut nadi rakyat, cabarannya pada waktu ini pada waktu ini adalah kerana langit kita poros, elemen luar masuk tanpa dapat kita kekang dan dapat kita lihat dana asing itu berjaya membentuk sikap dan saja rujuk hal ini kepada kumpulan baju kuning (Bersih), bererti dalam dewasa ini ia memberi cabaran yang besar kerana membolehkan gerakan seperti ini yang dibiayai oleh pihak asing ini memberi cabaran baru.

Jawapan: Mengikut kepada laporan yang kita dapat akses iaitu Wikileaks dan Dicileaks, mereka menunjukkan dokumen-dokumen bahawa George Soros ini melalui Open Society Foundation telah pun memberi dana kepada kumpulan-kumpulan tertentu dalam negara kita sepertimana dilakukan di negara-negara lain.

Umpamanya dalam Orange Revolution di Ukraine, dia memainkan peranan, Arab Spring pun dia memainkan peranan, yang terbaharu tunjuk perasaan di AS berikutan dengan kemenangan Donald Trump, akhbar USA Today melaporkan bahawa Open Society Foundation terlibat dalam membiayai protes-protes tersebut. Jadi kumpulan-kumpulan tertentu sepertimana mereka telah akui telah menerima dana daripada Open Society Foundation.

Jadi soalnya memang ada campur tangan asing dalam urusan negara kita, kita tidak boleh sebagai sebuah negara berdaulat yang mengamalkan prinsip demokrasi membiarkan orang lain menentukan siapa yang berhak menjadi pemimpin kita. Jadi inilah soal fundamental kepada saya.

Soalan: Dalam kaitan mengenai perkembangan politik, bagaimana Datuk Seri mengukur kekuatan parti baharu yang dipimpin Tun Dr. Mahathir sekarang, yang menjelang Perhimpunan Agung UMNO ini menjadi semakin agresif, bukan sahaja menyerang UMNO tetapi juga menyerang Presiden UMNO?

Jawapan: Saya melihat bahawa kalau kita kaji fenomena bila PKR ditubuhkan, Anwar Ibrahim keluar dari UMNO, kita lihat pada masa itu, gelombang itu lebih ketara daripada apa yang berlaku pada hari ini. Jadi maknanya ia tidak sama, kesannya tidak sama, tetapi saya sedar bahawa di mana-mana kawasan, bahagian ataupun Parlimen, mesti ada orang yang tidak berpuas hati.

Atas sebab-sebab tertentulah, tak dapat apa yang dia hendak dan sebagainya, kecewa. Jadi mereka cuba kumpulkan, kutip orang seperti ini untuk masuk dalam parti mereka untuk menentang kita, itu saya sedar dan sebagai seorang ahli politik yang agak lama, satu daripada pengajaran ialah never ever underestimate your opponent. Ini kita mesti, mesti dalam sikap kita. UMNO mesti jangan underestimate atau underrate mereka yang menentang kita.
Bukan kita takut kepada mereka, lain dengan soal takut tetapi kita jangan underrate dan kita mesti lakukan untuk mengekalkan kekuasaan yang ada pada kita.

Soalan: Saya menyebut tadi sebuah gerakan berbaju kuning yang dikatakan sebagai gerakan sivil tetapi kemudiannya dihijack (dirampas) sehingga menjadi gerakan yang propembangkang, bagaimana dari kaca mata Datuk Seri melihat hal ini?

Jawapan: Mereka cuba menggambarkan kepada rakyat kononnya ini satu gerakan semata-mata untuk menentukan kesahihan sistem kita, sistem demokrasi kita tetapi yang menjadi kenyataannya bila mereka membuat apa-apa pun yang keliling mereka semuanya parti pembangkang. Jadi pada hakikatnya tak boleh kita pisahkan bahawa ini yang mereka lakukan atas nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi ini berkait rapat dengan soal politik sebab pada akhirnya, penghujungnya, matlamat sebenarnya ialah untuk menukar kerajaan yang dipimpin oleh UMNO hari ini.

Soalan: Bagaimana Datuk Seri melihat kecaman berterusan terutama daripada bekas-bekas pemimpin UMNO terhadap Datuk Seri sendiri, bagaimana Datuk Seri mengawal ketenangan? Pasal kita lihat seolah-olah Datuk Seri tidak terusik pun dengan apa yang dilontarkan. Fokus utama Datuk Seri ke arah memperbaiki ekonomi negara, meneruskan agenda pembangunan rakyat?

Jawapan: Saya dah faham pemimpin seperti Dr. Mahathir. Saya dah faham. Ada kaedah dia dan cara dia tetapi saya merasa serasi dengan sokongan dalam parti, maknanya apa yang dia cuba buat untuk menumbangkan saya dalam parti tidak berjaya.

Saya pun mendapat sokongan dalam kalangan ahli Parlimen dan saya lihat sikap parti PAS pun tidak bersama dengannya. Dalam Bajet 2017 baru-baru ini PAS berkecuali, PAS tidak menyokong pembangkang menolak bajet. Jadi, usaha yang dilakukan melalui deklarasi rakyat itu tidak sah dari segi undang-undang dan Perlembagaan. Sebab itulah Majlis Raja-Raja tidak menerima langsung apa yang dibuat dalam bentuk tersebut.

Jadi opsyen sekarang adalah untuk meyakinkan rakyat dan dalam proses itu dia akan serang saya sebab nak menumbangkan UMNO dia mesti serang Presiden UMNO, itu hakikatnya. Waktu Dr. Mahathir jadi Presiden UMNO, orang yang sama duduk keliling dia pada hari ini mengata dia lagi teruk. Kalau kita tengok balik tape atau video yang lama-lama, mereka mengutuk Dr. Mahathir lagi dahsyat.

Maknanya ini proses politik, mainan politik dan Dr. Mahathir seorang yang mempunyai super ego yang besar. Dia mesti menang, kalau dia bertarung dia mesti menang, cuba nak menang. Jadi sekarang ini bila dia tidak berjaya, dia akan jadi lebih agresif lagilah dengan kata-kata dan sebagainya.

Soalan: Kalau ikut perlembagaan kemungkinan Perhimpunan Agung UMNO kali ini kedua terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum nanti. Apakah kepentingan dan fokus pada Persidangan Agung tahun ini?

Jawapan: Kita mesti menampakkan kita ini sebuah parti yang mempunyai motivasi yang kuat untuk terus berjuang sebagai parti yang berhak untuk terus memimpin negara kita.

Maknanya kita mesti tunjuk perpaduan kita, jangan bercakaran sebab keyakinan rakyat ini mesti lihat kepada sebuah parti politik yang bersatu, penyatuan kita itu penting.

Kedua kita mesti jaga sebagai sebuah parti apa yang kita kata, walaupun kita pemimpin di peringkat bahagian tetapi rakyat akan menilai juga apa yang kita cakap itu sebagai cerminan kepada parti kita.

Dan kita mesti menampakkan bahawa kita ini parti yang amat prihatin kepada soal rakyat. Maknanya kita ini, bila kita bincang di dalam perhimpunan bukan semata-mata utuk kita tetapi apa UMNO nak lakukan untuk rakyat dan untuk negara.

Apa kebaikan yang boleh kita curahkan. Inilah yang saya hendak bahawa kita ini adalah parti yang benar-benar berjuang. Perjuangan kita ialah untuk rakyat dan untuk negara kita.

Soalan: Itu menariknya Datuk Seri kerana sifat dan model parti politik kita, UMNO introspektif melihat ke dalam kepentingan bumiputera misalnya. Bagaimana nilai itu akan diseimbangkan dengan apa yang Datuk Seri sebutkan tadi kerana komponen lain bahkan yang bukan Barisan Nasional (BN) juga, berbangsa bukan Melayu dan bumiputera ingin melihat perdebatan-perdebatan yang mewakili cita rasa mereka. Di mana ada kesempatan itu?

Jawapan: Ini satu daripada dilema sebenarnya. Misalnya saya, apabila saya berucap, saya berucap sebagai Presiden UMNO ke saya bercakap sebagai Perdana Menteri? Jadi orang mesti faham bahawa ini Persidangan UMNO.

Ini bukan ucapan belanjawan atau pun ucapan yang lain seperti ucapan ambang merdeka sebagainya. Ini ucapan saya sebagai Presiden UMNO. Sebab itu saya punya audiens utama ialah ahli-ahli UMNO dan orang Melayu dan bumiputera. Mesti faham itu.

Tetapi saya pun faham bahawa sambil itu saya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Jadi apa yang saya kata itu saya faham bahawa ia tidak bolehlah menyinggung perasaan, perasaan yang bukan Melayu dan bukan bumiputera tetapi keutamaan kita, tumpuan kita mestilah soal-soal yang berkaitan dengan Melayu, bumiputera, agama Islam, agenda bumiputera.

Tidaklah bererti bahawa kita ini tidak peduli langsung kepentingan atau pun hak orang lain, tidak. Tetapi ini Persidangan UMNO.

Soalan: Datuk Seri, mengikuti perkembangan semasa hubungan UMNO-PAS. Benarkah UMNO dan PAS ini cuba bekerjasama secara diam-diam sebab itu secara terbukanya PAS tidak lagi menyerang UMNO, dan PAS pun tidak mahu bersekongkol dengan Pakatan Harapan yang Datuk Seri sebutkan tadi. Dalam kaitan itu adakah ini juga menjadikan UMNO itu lebih islamik atau pun lebih Melayu?

Jawapan: Saya lihat bahawa PAS hari ini tidak macam PAS dulu. PAS hari ini lebih terbuka. PAS hari ini komited kepada memperjuangkan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan ummah.

Begitu juga UMNO hari ini. UMNO pun bersikap sedemikian dalam banyak hal, bila melibatkan soal ummah, soal masa depan negara, ada bab-bab di mana kita memang mempunyai pendapat yang sama.

Tetapi kita belumlah macam tahun 1974, dalam bentuk satu kerajaan campuran dan sebagainya. Tetapi orang kata tension antara UMNO dengan PAS ini sampailah ke peringkat akar umbi tidak macam dulu. Saya ingat sudah banyak kendur, sudah banyak selesa, tetapi kita bergerak dalam kumpulan, kelompok masing-masing dalam parti masing-masing.

Ada masa kita perbezaan pendapat, ada masa kita tidak sama pendirian, tetapi ada kala juga kita boleh mempunyai pendirian yang sama.

Soalan: Macam isu Rang Undang-undang (RUU) 355 Datuk Seri?

Jawapan: Ya. Itu apa yang kita buat pertama itu kehendak Islam. Ini urusan orang Islam tetapi orang bukan Islam mesti faham ini bukan hudud.

Ini menaikkan kuasa kepada Mahkamah Syariah dan ini tidak kena-mengena dengan bukan Islam sama sekali dan kita pun sebagai sebuah kerajaan Barisan Nasional, kita akan berundinglah. Akan datang kita akan berunding dengan komponen-komponen BN supaya mereka faham apa sebenarnya tujuan rang undang-undang pindaan tersebut.

Soalan: Model perkongsian kuasa yang Datuk Seri sebutkan ini berkait juga dengan parti komponen. Bagaimana masa depannya sementara UMNO merupakan parti tonggak BN harus menangani sentimen-sentimen federelisme khususnya dalam Sabah dan Sarawak mutakhir ini?

Jawapan: Saya faham ada pihak yang cuba meniup soal kenegerian ini seolah kita telah tarik balik hak mereka dan sebagainya. Saya kata berapa kali dalam ucapan saya bahawa saya dan kerajaan kita adalah amat komited kepada Perjanjian Malaysia 63.

Apa pun kita buat kita mesti melihat kepada perjanjian tersebut. Dan kita sekarang ini kena mentafsir sama ada langkah-langkah tindakan kita selepas itu, sejurus itu ada tidak bertentangan atau pun kita tarik hak mereka sama ada mungkin tak sengaja ke atau sebagainya, orang putih kata inadvertently, tidak sengaja, atau pun ada apa yang patut kita lakukan.

Jadi, kita dalam proses sekarang ini melihat semula tafsiran kita dan tindakan kita susulan. Kalau sesuatu yang kita buat itu dengan jelas menarik hak orang Sabah Sarawak, kita sanggup betulkan.
Tetapi waima apa pun dia mestilah dalam lingkungan Perlembagaan Malaysia. Dan soal Sabah Sarawak keluar, itu non-negotiable, itu jangan sebut, sebab itu adalah salah di sisi undang-undang negara.

Soalan: Bergerak ke hadapan Datuk Seri, prestasi ekonomi tahun depan dan tahun-tahun seterusnya akan meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat dan kesan ini akan mempengaruhi sentimen politik rakyat. Bagaimana Datuk Seri mahu menangani perkara ini?

Jawapan: Kita pernah menang waktu kemelesetan ekonomi dulu, pun kita menang pilihan raya. Di Sarawak ini dia orang kata apabila laksana GST memang teruk kita di Sarawak apabila pilihan raya di Sarawak, tetapi kita menang besar di Sarawak.

Kita menang besar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Jadi, kalau kita boleh jelaskan pada rakyat bahawa ini bukan kesalahan, kelemahan kita, ini faktor di luar kawalan kita, saya percaya rakyat akan faham bahawa hari ini apa yang kita lakukan adalah yang terbaik untuk rakyat dan kitalah merupakan pihak yang boleh memenuhi harapan rakyat berbanding dengan alternatif yang ada.

Soalan: Datuk Seri bercakap soal isu umat Islam, mutakhir ini umat Islam semakin ditindas dan dianiaya, terbaharu di Myanmar kita menyaksikan perkara itu di depan mata kita. Bagaimana UMNO boleh mainkan peranan di dalam membantu sesama umat Islam dan bagaimana kita sendiri sebagai umat Islam boleh belajar daripada perkembangan-perkembangan yang berlaku ini?

Jawapan: Pengajaran yang paling besar ialah bahawa campur tangan asing dalam urusan negara-negara Islam berkesudahan dengan keadaan yang amat merugikan umat Islam. Jadi konflik yang berlaku hari ini berpunca daripada campur tangan asing dalam urusan dalaman negara-negara Islam.
Sebab mereka bila campur tangan, mereka ada agenda tertentu sama ada sengaja atau pun tidak sengaja. Tentu sekali mereka tidak faham keadaan dalam sesuatu negara Islam. Sebab itulah yang paling penting sekali kita mesti mempunyai pendirian yang tegas, jangan benarkan orang asing campur tangan dalam urusan dalaman kita.

Yang kedua, kita mesti mengamalkan prinsip perpaduan ummah. Bukan sahaja dalam negara tetapi secara universal, maknanya di kalangan negara Islam, kerjasama kita, apa yang kita lakukan, strategi kita ini mestilah diperkukuhkan lagi sebab Malaysia sahaja tidak mampu sebab ini berlaku di negara lain macam di State of Rakhine, kita perlu pada kerjasama daripada masyarakat antarabangsa, OIC, ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sebagainya.

Soalan: Banyak dibicarakan tentang pengisian masa depan dan Datuk Seri menggagaskan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Dalam kesempatan ini diberi ruang kepada rakyat untuk memberikan komen balas berkait dengan gagasan ini.

Jawapan: Kita nak mulakan discourse ini mulai tahun depan sebab kita memerlukan leap time, takkan sampai tahun 2020 baru kita nak mulakan, tidak. Kita memulakan sekarang supaya dalam masa menjelang sebelum sampai 2020, kita dah ada hala tuju itu.

Berbeza dengan Wawasan 2020, sebab masa itu diumumkan Perdana Menteri pada ketika itu, maknanya dari top bottom, saya nak dari bottom up. Maknanya saya nak bermula discourse ini di peringkat rakyat, peringkat akar umbi terutama sekali di kalangan orang-orang muda, generasi muda sebab merekalah yang akan memiliki negara kita pada satu hari nanti.

Pada hakikatnya, memang itu benar dan kita mula proses itu tetapi ia akan melibatkan semua komponen dalam negara kita.

Soalan: Bagaimana ciri-ciri TN50 ini berbeza dengan Wawasan 2020 yang akan berakhir empat tahun lagi Datuk Seri?

Jawapan: Itu terlalu awal bagi saya untuk kata sebab saya tidak mahu pre-empt apa suara rakyat nanti. Tetapi kita mesti ada satu dokumen, satu hala tuju yang komprehensif, yang menyeluruh, yang boleh dikatakan bahawa dimiliki oleh rakyat. A sense of belonging bahawa ini adalah hak kita, sebab ini datang daripada rakyat.

Jadi itulah hasrat saya dan saya tidak mahu menyatakan pendirian saya secara peribadi sehingga pada peringkat akhir nanti bila kita dah cuba, kita dah kumpul semua pandangan, kita rumuskan sebagai dasar dan visi baharu untuk negara dan dasar-dasar yang sesuai dengan visi tersebut untuk dijadikan sebagai landasan 30 tahun akan datang untuk negara Malaysia.

Soalan: Berbalik kepada Persidangan Agung UMNO tahun ini, apakah harapan Datuk Seri perkara yang sepatutnya kita capai dalam perhimpunan agung tahun ini?

Jawapan: Saya mahu bahawa parti UMNO ini dilihat sebagai parti yang bersatu, mempunyai keyakinan dan parti yang amat-amat prihatin dalam soal rakyat dan soal negara kita. Dan parti yang penuh bertanggungjawab untuk membela kepentingan rakyat dan negara.

Ini mesej kita dan kita mesti juga merupakan parti yang dapat menunjukkan imej yang positif kepada rakyat supaya rakyat suka kepada kita. Rakyat mesti suka kepada UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles