Ekspo Johor Berkemajuan 2017

By October 7, 2017 Blog, Featured Articles

Di hari Sabtu ini saya ke selatan tanah air untuk merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota Iskandar. Ekspo ini adalah satu usaha untuk kita hebahkan dan maklumkan kepada rakyat mengenai pencapaian, perancangan serta hala tuju pembangunan dan insiatif-inisiatif yang akan memanfaatkan rakyat Johor secara khususnya.

Saya banyak kali melawat Johor, dan saya nyatakan bahawa tak perlu Ekspo pun kita boleh lihat sendiri betapa Johor telah berkembang dengan cukup maju, malah boleh dikatakan nadi pertumbuhan negara berpusat dan berpunca dari Johor.

Antara sebab mengapa Johor telah membangun dan akan melalui fasa pembangunan menakjubkan, adalah hubungan cukup erat Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Pusat, ditunjangi kepimpinan Menteri Besar Dato’ Khaled Nordin, sumbangan Menteri-menteri dari Johor dan tentu sekali DYMM Tuanku Sultan Johor yang banyak membantu pembangunan negeri Johor.

Antara contoh kejayaan pembangunan projek berstatus mega di Johor ini adalah Projek Pembangunan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) dengan matlamat untuk mentransformasikan Johor Selatan sebagai hab industri hiliran minyak dan gas yang lestari dan bertaraf antarabangsa.

Menjelang tahun 2020, Fasa 1 PIPC akan siap sepenuhnya yang didahului sektor berat minyak dan gas. Ini melibatkan pelaburan bernilai RM124 billion dan mampu menyediakan hampir 4,600 peluang pekerjaan.

Manakala, jajaran infrastruktur baharu di Pengerang seperti jalanraya, sistem pengaliran, penyediaan jaringan komunikasi berserta data dan rangkaian pembekalan elektrik dijangka siap dalam tahun 2019.

Selain itu, di Ekspo Johor Berkemajuan ini juga terdapat 4 inisiatif pembangunan akan dilancarkan yang mana akan memberi kesan yang besar kepada rakyat negeri Johor.Pertamanya adalah pelancaran Bus Rapid Transit System atau BRT. Seperti yang dapat kita lihat, dalam masa satu dekad sahaja, Iskandar Malaysia telah mempamerkan pembangunan serta kemajuan amat pesat.

Dengan berkonsepkan ‘keterangkuman’ serta ‘kemampanan’, Kerajaan Pusat, melalui  Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) serta Kerajaan Negeri Johor, akan membangunkan sistem Bus Rapid Transit (BRT) sebagai tulang belakang infrastruktur pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia untuk dua dekad yang akan datang.

BRT adalah sistem transit berasaskan bas yang berkualiti tinggi yang memberikan perkhidmatan yang reliable, selesa dan kos efektif.

Kos pelaksanaan BRT yang berjumlah lebih kurang RM2.56 bilion ini dibiayai menerusi Kerajaan Pusat sebanyak RM1 bilion, manakala pembiayaan melalui kerjasama swasta dan awam, atau Private-Public Partnership adalah sebanyak RM1.56 bilion.

BRT mengandungi ciri-ciri yang serupa dengan Transit Aliran Ringan atau metro, makanya, ia akan lebih cepat berbanding perkhidmatan bas biasa.

Sistem ini dijangka beroperasi pada tahun 2021, yang akan menghubungi 90% kawasan Iskandar Malaysia, dengan  laluan sepanjang 51km, menerusi 39 stesen yang melalui pusat-pusat membeli belah, sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi, hospital dan pusat perubatan, serta pejabat-pejabat kerajaan, dengan kekerapan selama 10-15 minit di waktu puncak.

Pembangunan sistem BRT ini akan dipastikan mempunyai sambungan atau link yang lancar ke Sistem Transit Kereta Api (RTS), High Speed Rail, KTM komuter serta terminal bas antara bandar.

Inisiatif yang kedua adalah pelancaran Pelan Induk Pembangunan Kemahiran Johor.

Aspirasi Kerajaan Negeri untuk memacu pembangunan kemahiran yang berteraskan bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional atau TVET kepada para belia Johor akan diterjemahkan melalui Pelan Induk ini yang menyentuh lima elemen teras iaitu:

– struktur dan dasar tadbir urus yang kukuh;
– memupuk minat dan bakat;
– penyelarasan dan fasilitasi pembiayaan;
– kualiti dan penyampaian TVET;
– penyediaan kemudahan yang inklusif dan menyeluruh.

Pelan Induk ini sejajar dengan pelancaran program TVET Malaysia di peringkat kebangsaan pada 27 September yang lalu. Ini merupakan satu strategi untuk memastikan sistem pendidikan TVET di Malaysia dibangunkan secara sistematik.

Kerajaan Persekutuan juga akan membangunkan Pelan Induk TVET yang menyeluruh untuk diuruskan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan bantuan semua kementerian yang berkaitan.

Saya yakin, Pelan Induk TVET Johor adalah suatu permulaan dan rujukan yang baik untuk Pelan Induk TVET yang lebih komprehensif.

Kerajaan Negeri Johor juga telah banyak melabur dalam pembangunan kemudahan infrastruktur yang menyokong pembangunan TVET di seluruh negeri. Sebagai contoh, kerja-kerja pembinaan kemudahan TVET moden yang bernilai RM100 juta di Kulai, Johor akan dapat menampung sehingga 20,000 pelatih setahun.

Inisiatif yang seterusnya adalah pelancaran Dasar Kelestarian Negeri Johor.

Meskipun negeri Johor sedang berhadapan dengan kerancakan pertumbuhan ekonominya, setiap dasar, agenda dan projek yang dilaksanakan seharusnya tidak membelakangkan kepentingan alam sekitar yang mengambil kira perubahan iklim, pemanasan global, kualiti alam sekitar dan kesusutan sumber asli negeri.Isu alam sekitar sangat berkait rapat dengan isu pembangunan yang mana perlunya keseimbangan di antara keperluan kepentingan dari sudut ekonomi dan kesannya kepada alam sekitar.

Sehubungan itu, bagi mencapai pembangunan Johor yang lebih komprehensif yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar, adalah amat penting untuk Johor mempunyai Dasar Kelestarian Johor tersendiri.

Melalui Dasar Kelestarian Negeri Johor, ia bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar yang mampan.

Pelan komprehensif ini memberi halatuju yang jelas bagaimana untuk mengurus sumber asli dengan cekap serta memberikan pencerahan tentang pelaburan yang mesti dilakukan bagi menyokong agenda kelestarian, sekaligus untuk menjaga kesejahteraan rakyat Johor.

Inisiatif yang keempat yang akan dilancarkan di Ekspo ini adalah pembangunan beberapa projek Program Perumahan Rakyat atau PPR yang baharu.

Agenda perumahan untuk rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor. Terdapat berbagai skim-skim perumahan yang diwujudkan di negeri Johor ini yang dibangunkan selari dengan kepelbagaian kemampuan dan keperluan rakyat seperti  Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Skim Sewa Beli, Taman Perbadanan Islam, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), Rumah Transit Asnaf Johor, serta Program Perumahan Rakyat (PPR).

Sukacita saya maklum dan sahkan bahawa, memandangkan terdapat keperluan dan permintaan yang tinggi ke atas rumah-rumah PPR, Kerajaan telah bersetuju untuk menambah dan meneruskan pelaksanaan projek PPR di negeri Johor.

Sebanyak 4 projek PPR baharu telah dirancang untuk dibangunkan yang melibatkan pembinaan 1,830 unit rumah dengan kos berjumlah RM360 juta. Ini membabitkan PPR Ulu Tiram, PPR Masai, PPR Permas Jaya dan PPR Bandar Tenggara. Projek-projek ini dijangka akan dapat dimulakan pada penghujung 2017 dan dijangka siap pada tahun 2020.

Di keempat-empat projek PPR tersebut bakal dilengkapi dengan kemudahan seperti kedai, gerai, surau, tadika, taska, balai komuniti, serta taman permainan kanak-kanak.

PPR merupakan satu program perumahan awam yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat. Setakat 30 September 2017, sejumlah 83,759 unit rumah telah disiapkan di seluruh negara dan sebanyak lebih 25,000 unit lagi akan dibina dengan kos keseluruhan projek PPR berjumlah hampir RM10.5 bilion.

PPR-PPR ini adalah jenis disewa atau boleh dimiliki. Bagi unit yang disewa, kadar sewaannya adalah hanya RM124 sebulan. Manakala, bagi unit rumah PPR yang dijual, harganya adalah RM35,000, yang berkeluasan 700 kaki persegi. Kerajaan menyediakan subsidi yang cukup besar iaitu lebih RM100,000 bagi setiap unit PPR ini!

Terkini, Kerajaan Pusat telah berjaya menyiapkan 8,278 unit rumah PPR di seluruh negeri Johor yang melibatkan 8 projek dengan jumlah kos yang dikeluarkan berjumlah RM575 juta.

Selain itu, 5 projek lain melibatkan 3,217 unit dengan kos sebanyak RM500 juta sedang di dalam peringkat pembinaan, yang mana kesemua projek-projek itu dijangka siap pada tahun 2018 dan 2019.

Saya yakin dengan pembinaan projek-projek perumahan seperti PPR ini dapat mengurangkan masalah kekurangan rumah di negeri Johor ini.

Kerajaan Pusat sentiasa komited untuk memastikan negeri Johor sebagai kuasa ekonomi baharu negara sentiasa berkembang maju dengan jayanya.

Semoga dengan itu juga, segala dasar, agenda dan projek pembangunan yang dirancang di negeri Johor ini berjaya mencapai matlamatnya dan berjalan dengan lancar, dan Johor terus maju membangun dan berjaya, Insya-Allah.