Ekspresi Negaraku

By March 18, 2017 Blog, Featured Articles

30 juta rakyat Malaysia dan kita mempunyai satu titik persamaan. Kita secara bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama memanggil tanah bertuah ini negaraku, Malaysia.

Saya percaya bahawa istilah Negaraku ini membawa erti yang besar kepada rakyat Malaysia. Bukan sahaja ia adalah lagu kebangsaan yang telah kita nyanyikan sejak zaman persekolahan, istilah ini juga merupakan satu perlambangan bahawa tanah ini adalah rumah yang kita kongsi bersama.

Maka dalam usaha membina negara ini, kita semua harus kekal bersatu dan semangat cintakan negara harus dipupuk secara berterusan. Semangat patriotisme mestilah disemarakkan dan dizahirkan sepanjang tahun, bukan sekadar wujud dalam bulan Ogos.

Alhamdulillah, pagi tadi saya telah menyaksikan satu lagi detik-detik perpaduan di mana ribuan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum telah menzahirkan ekspresi mereka dalam membina negara ini, di Putrajaya.

Sebagai Perdana Menteri, kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan saya. Saya akan pastikan Malaysia terus berjaya dan kekal aman serta rakyat terus berpeluang untuk mencari rezeki di negara ini.

Dalam mengecapi objektif tersebut, penting untuk saya mengingatkan semua akan beberapa perkara yang boleh memusnahkan negara kita sendiri.

Jangan jadi musuh dalam selimut atau bersekongkol dengan musuh-musuh negara. Mereka ini adalah antara orang yang tidak cintakan negara kita dan hanya ingin melihat akan kehancurannya.

Kita masih ingat lagi peristiwa di Lahad Datu di mana anggota keselamatan telah terkorban kerana wujudnya musuh dalam selimut. Ketika itu, pihak pencoroboh telah mendapat maklumat awal akan pergerakan pasukan keselamatan kita dan melakukan serangan hendap di sebuah rumah. Sesungguhnya negara kita telah kehilangan patriot-patriot berikutan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

Baru-baru ini juga, rakyat kita hampir menjadi mangsa akibat tindakan pihak tak bertanggungjawab yang bagaikan gunting dalam lipatan. Kita hampir kehilangan pelaburan dari Arab Saudi apabila segelintir pihak telah menyebarkan fitnah berkenaan keadaan ekonomi negara yang kononnya kerajaan akan bankrap dan bakal tidak mampu membayar gaji perkhidmatan awam.

Ini tidak benar sama sekali. Alhamdulillah, setelah menunjukkan prestasi sebenar ekonomi negara, Arab Saudi telah bersetuju untuk melabur sebanyak RM31 bilion di Malaysia melalui syarikat minyak Aramco.

Betapa ruginya rakyat Malaysia jika pihak tak bertanggungjawab tersebut berjaya dalam fitnah mereka. Rakyat kita sudah pastinya akan dinafikan peluang-peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi serta peluang pendapatan dari sektor sokongan hasil pelaburan Arab Saudi tersebut.

Saya juga berasa pelik dengan wujudnya bekas pemimpin negara yang turut memburukkan negara kita. Berita yang disampaikan tidak benar sama sekali. Menurut beliau, Malaysia adalah antara 10 negara yang korup di dunia. Ini tentunya tidak benar. Sebenarnya, kita berada di tangga ke-55 antara 176 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah 2016, dan sudah tentunya masih wujud ruang untuk penambahbaikan. Tetapi untuk berbohong, menyebarkan fitnah dan memburukkan tanah air sendiri, saya soal di manakah semangat cintakan negara pemimpin tersebut?

Sebagai pemimpin, perkara-perkara tersebut saya anggap sebagai cabaran dan peringatan dalam membina negara yang tercinta ini.

Namun begitu, kita sebagai rakyat Malaysia harus terus mengorak langkah ke hadapan. Dalam menghadapi cabaran, kita juga telah menyaksikan potensi sebenar Malaysia apabila rakyatnya bersatu-padu. Atas semangat Negaraku, kita hampir memenangi pingat emas Sukan Olimpik dalam acara badminton di Rio. Atas sokongan rakyat Malaysia juga pemain bola sepak kita Faiz Subri berjaya memenangi anugerah Puskas FIFA. Krisis MH370 dan MH17 juga telah menunjukkan betapa kuatnya Malaysia apabila rakyatnya bersatu dan Insya-Allah, krisis hubungan diplomatik dengan Korea Utara ini juga akan diselesaikan.

Ini semua adalah contoh-contoh terbaik untuk kita ingati. Sesungguhnya, kita semua adalah patriot-patriot negara, walaupun tidak berjuang di medan pertempuran. Kita adalah patriot jika kita bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

Sebagai guru, anda adalah seorang patriot jika berdedikasi dalam mendidik anak bangsa. Sebagai ibu-bapa, kita juga adalah patriot dalam memastikan anak-anak kita membesar menjadi insan yang berguna. Sebagai rakyat, kita harus terus menunjukkan perasaan kasih sayang.

Negara ini milik kita, tanpa mengira fahaman politik dan ideologi. Insya-Allah, saya percaya Malaysia akan terus aman dan berjaya.

Semarakkanlah semangat Negaraku, Malaysia.