20 Disember, 2017

Lawatan rasmi ke Sri Lanka 17-19 Disember


Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Sri Lanka selama 2 hari atas jemputan Presiden Maithripala Sirisena berkesudahan pada nada positif dengan banyak yang telah berjaya kita capai bersama untuk kedua-dua negara.

Lawatan ke Sri Lanka kali ini adalah lawatan rasmi pertama saya ke sini sebagai Perdana Menteri, dan saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Sri Lanka atas jemputan dan juga layanan cukup baik diberikan kepada saya dan delegasi Malaysia.

Dalam pertemuan dua hala saya dan Presiden Maithripala Sirisena semalam, fokus utama yang kami bincangkan adalah komitmen kedua-dua negara untuk memuktamadkan rundingan FTA yang telah dipersetujui dalam lawatan rasmi Presiden Sri Lanka ke Putrajaya pada Disember tahun lalu.

Perdagangan dan pelaburan adalah tumpuan utama hubungan Malaysia dan Sri Lanka, dan kami berdua maklum bahawa perdagangan dua hala antara kedua-dua negara telah mencecah USD499.1 juta bagi tempoh antara Januari hingga September, peningkatan 13.6% bagi tempoh sama tahun lalu, sebuah perkembangan positif yang boleh kita usaha untuk tambah baik lagi.

Saya kemudian melakukan pertemuan bersama kapten-kapten industri, sebelum bertemu dengan diaspora Malaysia untuk majlis makan malam.

Seterusnya pada hari kedua hari ini, saya menerima kunjungan Ketua Menteri Wilayah Utara Sri Lanka, Canagasabapathy Viswalingam Wigneswaran, di mana kawasan tersebut pernah mengalami perang sivil dan memberi kesan kepada komuniti di situ. Malaysia akan menghantar misi terdiri daripada Kerajaan dan swasta untuk melihat kemungkinan apa yang boleh dibuat untuk bantu mereka.

Saya kemudian membuat lawatan ke Dialog Axiata, syarikat telekomunikasi terbesar di Sri Lanka yang juga milik Syarikat Malaysia Axiata. Dalam lawatan tersebut saya telah diberi taklimat dan telah menyaksikan sebuah badan korporat Malaysia yang berjaya di peringkat global, di mana Axiata telah melabur 2.25 bilion USD di Sri Lanka dan berhasrat untuk menambah lagi pelaburan ini.

Selepas itu, saya telah melancarkan Plaque Hyrax Oil Sdn Bhd, iaitu sebuah kilang yang tidak berapa jauh dari Colombo. Dengan terlaksana kilang ini, minyak pelincir dapat dijual pada harga 35% lebih rendah. Inilah antara kejayaan kita untuk membangunkan sebuah syarikat Malaysia sebagai global champion. Syarikat ini juga telah menerima beberapa pengiktirafan dan anugerah berprestij, antaranya daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia

Pada sebelah petang, saya telah diundang untuk menghadiri jamuan makan tengah hari sekaligus mengadakan perbincangan, iaitu working lunch oleh rakan sejawat saya dari Sri Lanka, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe, yang juga dihadiri beberapa orang menteri.

Perbincangan ini adalah lanjutan daripada perbincangan dengan Presiden semalam, dan antara pekara yang disentuh adalah komitmen berterusan untuk mengambil tindakan susulan memutamadkan FTA, selain juga cadangan supaya kita melabur dalam kilang penapis minyak sawit di sini terutamanya dalam bio diesel untuk dieksport ke India.

Kami juga berbincang bagaimana boleh mencari kemungkinan mengembangkan lagi kerjasama dalam bidang-bidang lain, dan saya menjemput Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe untuk melawat Malaysia.

Keseluruhannya, saya gembira lawatan kali ini cukup positif dan produktif, dan saya percaya hubungan Malaysia dan Sri Lanka, yang menyambut ulang tahun ke-60 hubungan dua hala tahun ini, akan terus bertambah kukuh dan akrab, Insya-Allah.