16 November, 2015

Golongan 40 peratus berpendapatan pertengahan


Saya telah membentangkan Bajet 2016 kira-kira tiga minggu yang lalu. Bajet ini adalah antara bajet yang sukar dari segi penyediaannya bagi Kementerian Kewangan dan setelah mempertimbangkan kekangan yang kita ada dengan penurunan perolehan daripada sumber Minyak dan Gas serta permintaan daripada belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

Tetapi kita berasa bersyukur, kerana walaupun pendapatan daripada GST tidak menampung sepenuhnya kekurangan perolehan kita, ia cukup bagi membentangkan Bajet yang holistik.

Rancangan Malaysia Ke-11 dibentuk bagi membawa kita kepada aspirasi yang perlu dicapai menjelang 2020. Bajet tahunan pada masa ini dan akan datang harus membolehkan kita merealisasikan status ekonomi maju yang berpendapatan tinggi.

Sepertimana diketahui, tiada negara dapat mencapai pertumbuhan progresif dari segi ekonomi dan sosial tanpa penglibatan golongan kelas berpendapatan pertengahan. Saiz dan kekuatan golongan pertengahan adalah pengukur terbaik kekuatan ekonomi sesuatu negara. Tabiat sosial dan budaya golongan pertengahan mampu membentuk perjalanan sejarah negara.

Dalam mana-mana ekonomi perusahaan pasaran modal, seperti Malaysia, golongan kelas pertengahan adalah pemacu kepada ekonomi. Golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan atau M40, adalah sangat penting kepada kesejahteraan negara. M40 adalah tunjang kepada perbelanjaan penggunaan dan pelaburan swasta kita. M40 juga merupakan satu kumpulan yang kritikal untuk sumber manusia, pelaburan dan keusahawanan.

Tahun lepas, dalam Bajet 2015, Kerajaan telah mengurangkan cukai individu antara 1% kepada 3% dan untuk membantu mereka yang berpendapatan rendah, paras pendapatan bulanan terendah yang tertakluk kepada cukai dinaikkan kepada minimum RM4,000. Mereka yang berpendapatan kurang daripada jumlah berkenaan tidak perlu membayar cukai pendapatan.

Bajet 2016 yang dibentangkan pada tahun ini pula memperkenalkan langkah-langkah tambahan bagi mengurangkan cabaran kewangan yang dihadapi oleh M40:

• Pelepasan cukai untuk setiap orang anak 18 tahun ke bawah dinaikkan dari RM1,000 untuk RM2,000 mulai tahun taksiran 2016;
• Pelepasan cukai bagi pembayar individu yang pasangannya tidak mempunyai pendapatan dinaikkan dari RM3,000 kepada RM4,000;
• Pelepasan cukai untuk anak-anak yang menyara ibu bapa mereka dengan jumlah cukai terkumpul RM1,500 untuk ibu dan RM1,500 untuk bapa;
• Had pelepasan cukai dinaikkan dari RM6,000 kepada RM8,000 untuk setiap orang anak berumur 18 tahun ke atas yang sedang menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara dan
• Had pelepasan cukai dinaikkan dari RM6,000 kepada RM8,000 untuk anak-anak kurang upaya yang sedang menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara

Tambahan kepada ini, Kerajaan juga menitikberatkan pemilikan rumah untuk semua rakyat Malaysia di bawah kedua-dua kumpulan B40 dan M40.

Kerajaan juga telah mengumumkan rancangannya berhubung pemilikan rumah. Antaranya, Bajet 2016 telah memperuntukkan RM200 juta untuk Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu pembeli-pembeli rumah mampu milik pertama membayar deposit.

Saya turut mengumumkan satu lagi polisi signifikan iaitu peningkatan gaji minimum seluruh negara. Ini adalah satu langkah yang penting bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka yang ingin beralih kepada golongan pertengahan. Polisi ini juga akan membolehkan majikan menaikkan gaji melalui “kesan limpahan” di seluruh spektrum gaji.

Dalam menangani isu-isu M40, sektor swasta juga memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat agihan pendapatan secara adil. Kini di Malaysia, peratusan pampasan pekerja adalah pada kadar 34% kepada KDNK pada 2014, dan ini adalah rendah jika dibandingkan dengan paras negara-negara maju yang kita hendak capai. Oleh itu, saya menyeru kepada majikan-majikan supaya lebih inklusif dalam perkongsian pai ekonomi dan keuntungan syarikat agar dapat mencapai sasaran pampasan pekerja sekurang-kurangnya 40% kepada KDNK pada 2020. Dengan ini, kakitangan boleh mengharapkan pendapatan yang lebih saksama daripada syarikat-syarikat mereka tanpa menjejaskan produktiviti.

Dengan tema Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Bajet 2016 merupakan satu belanjawan inklusif yang dapat menangani keadaan ekonomi semasa. Ia penting untuk Kerajaan memastikan golongan M40 terus memaksimumkan potensi sepenuhnya dengan merealisasikan aspirasi mereka yang mana mereka turut diperuntukkan dengan asas kewangan yang selesa supaya dapat meningkatkan kuasa beli atau meningkatkan simpanan bagi persaraan.

Strategi yang digariskan dalam Bajet 2016, akan menggalakkan peningkatan mobiliti sosial, manakala pada masa sama, memupuk nilai kekeluargaan yang sebenar sebagaimana budaya kita.

Untuk mempunyai asas ekonomi yang kuat dan berdaya saing, kita memerlukan golongan M40 yang kuat dan berdaya saing juga.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.