4 September, 2017

Hari Hasanah


Petang ini, saya di tapak Projek Taman Tugu bagi menyempurnakan salah satu daripada akitviti sempena Hari Hasanah anjuran Khazanah Nasional bersama-sama dengan Yayasan Hasanah, Yayasan Khazanah, Khazanah Research Institute dan Think City.

Hari Hasanah adalah sebuah insiatif di bawah kempen “Negaraku, Negara Kita” yang dianjurkan oleh Khazanah Nasional bagi meraikan perjalanan serta pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara, dengan aktiviti utama pada Hari Hasanah adalah amal kebajikan yang dilakukan bagi manfaat segenap lapisan masyarakat.

Saya yakin dan percaya, semangat kesukarelawanan yang disemai pada Hari Hasanah ini apabila dilakukan dengan ikhlas dan tanpa mengharapkan balasan, mampu memupuk perpaduan, patriotisme dan semangat kekitaan antara semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang.

Inisiatif Hari Hasanah ini juga selaras dengan matlamat Transformasi Nasional 2050 berpaksikan perpaduan, keterangkuman dan keterlibatan, yang mana ia mengambil kira aspirasi rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat. Seperti Hari Hasanah, aspirasi TN50 adalah daripada rakyat untuk rakyat.

Saya juga ingin menyentuh mengenai lokasi sambutan Hari Hasanah ini iaitu tapak projek Taman Tugu. Ketika melancarkan projek ini, saya telah menyatakan bahawa apabila siap kelak ia akan menjadi salah satu destinasi pilihan oleh warga kota dan para pelancong asing bagi tujuan riadah dan rekreasi, serta menjadi salah satu mercu kebanggaan ibu kota Kuala Lumpur.

Alhamdulillah, hari ini, pelaksanaan projek Taman Tugu berjalan lancar dengan komponen taman, salah satu daripada empat komponen utama projek ini, dijangka siap menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun 2019.

Sesungguhnya, taman-taman dan ruang-ruang hijau memainkan peranan penting dalam usaha kita untuk memelihara dan memulihara kawasan-kawasan yang mempunyai kepentingan alam sekitar, sejarah, dan kebudayaan, kerana ini adalah warisan yang kita kongsi bersama.

Taman Tugu yang akan siap sepenuhnya kira-kira 2 tahun lagi ini juga bakal menempatkan pelbagai tarikan termasuk 1,000 spesies flora dan fauna, kawasan perkhemahan, laluan mendaki dan pejalan kaki serta bermacam lagi. Anda boleh baca lebih lanjut mengenainya dalam catatan blog saya yang terdahulu bertajuk Hijau Kuala Lumpur.

Saya dimaklumkan bahawa pihak Khazanah telah mengadakan beberapa sesi dialog dan perjumpaan bersama orang awam serta pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan bahawa semua pihak berpeluang memberi maklum balas yang membina.

Ini adalah bukti keprihatinan Kerajaan dalam mendengar kehendak serta suara rakyat, dan juga penting kerana Taman Tugu adalah milik kita bersama.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah menyumbang buah fikiran masing-masing. Ia akan dinilai dan dipertimbangkan sewajarnya.

Insya-Allah, saya yakin melalui usaha kita bersama, Taman Tugu apabila dibuka kelak akan menjadi sebuah taman rimba kota yang bukan sahaja dapat dinikmati oleh para pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara, tetapi juga sebagai satu lagi mercu tanda kekal Kuala Lumpur, setaraf bandaraya-bandaraya terkemuka seperti di London, New York dan Tokyo yang mempunyai kawasan green lungs di tengah-tengah bandarnya.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Speeches