Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017

By September 28, 2017 Blog, Featured Articles

Alhamdullillah, hari ini saya berpeluang hadir di MAEPS Serdang merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK) dan juga acara yang julung kali diadakan iaitu Malaysia Food Festival.

Golongan peladang atau petani, penternak dan nelayan sentiasa berada dekat di hati saya. Walaupun sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko, para petani, penternak dan nelayan tetap cekal berusaha tanpa mengenal erti penat lelah bagi memastikan bekalan makanan yang mencukupi kepada kita semua.

Saya amat menyanjung tinggi sumbangan golongan ini yang mana saya sifatkan mereka sebagai “wira yang tidak didendang atau the unsung heroes”. Menjadi peladang, penternak dan nelayan yang mencurah keringat demi menyediakan sumber makanan rakyat adalah suatu pekerjaan yang cukup mulia.

Pada tahun 2016, sektor pertanian telah menyumbang sebanyak RM89.3 bilion atau bersamaan 8.1% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Secara khususnya, sektor agromakanan pula telah menyumbang sebanyak RM36.5 bilion atau 3.3% kepada KDNK. Pengeluaran komoditi makanan utama seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan telah mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan iaitu pada kadar 3.9% setahun dalam tempoh 2011-2016.

Peningkatan pengeluaran komoditi makanan ini adalah seiring dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk meningkatkan sekuriti makanan dan tahap sara diri negara. Contohnya, pada masa ini, Malaysia telah mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus bagi komoditi daging dan telur ayam dan itik, dan mencapai tahap sara diri melebihi 70 peratus bagi ikan, buah-buahan dan beras.

Prestasi sekuriti makanan negara juga memberangsangkan di dalam Indeks Jaminan Bekalan Makanan Global (The Global Food Security Index) oleh The Economist Intelligence Unit. Kajian pada tahun 2016 telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke-35 dalam kalangan 113 negara di peringkat global.

Malah, kajian tersebut juga meletakkan negara di tempat kedua terbaik selepas Singapura di rantau Asia Tenggara berbanding dengan negara-negara yang dikenali dengan kemajuan sektor pertanian mereka seperti Thailand yang berada di kedudukan 51 dan Vietnam di kedudukan 57.

Berdasarkan pencapaian inilah, saya dan kita semua amat menyanjung tinggi sumbangan para petani, penternak dan nelayan terhadap negara.

Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Barisan Nasional akan meneruskan pelaburan dan usaha bagi memastikan sektor agromakanan kekal memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Pada tahun ini, sebanyak RM4.4 billion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dan mengurus sektor agromakanan. Ini termasuklah RM1.3 bilion berbentuk subsidi dan insentif kepada para pesawah dan RM260 juta kepada para nelayan sebagai elaun sara hidup.

Malah, perhatian khusus juga akan saya berikan terhadap sektor agromakanan dan pertanian dalam pembentangan Bajet 2018 yang akan datang. Saya masih lagi menerima cadangan-cadangan Bajet dan Insya-Allah, pada hari pembentangan pada 27 Oktober 2017, sesuatu akan Kerajaan peruntukkan untuk sektor ini. Tunggu!

Seterusnya, matlamat kita adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Dan kita mahu nikmat pendapatan tinggi ini turut diperolehi oleh para peladang, penternak dan nelayan kita.

Kita mahukan bidang pertanian ini boleh mencipta sumber kekayaan baharu untuk rakyat. Petani, penternak dan nelayan juga mampu hidup senang, mampu menjadi kaya. Malah kita mahu melahirkan lebih ramai jutawan baru negara menerusi pertanian dan industri asas tani.

Sebagai contoh, produk-produk pertanian kita seperti durian, sarang burung walit, herba dan rumpai laut sememangnya mendapat sambutan yang luar biasa dan merupakan produk-produk premium negara.

Buah durian seperti Musang King, Black Thorn dan Udang Merah sudah masyhur dan mendapat permintaan yang amat tinggi kerana berkualiti tinggi dan rasanya yang begitu enak. Pada tahun 2016, eksport durian ke luar negara adalah sebanyak RM74.3 juta, berbanding RM64.9 juta pada tahun 2015. Saya menjangkakan nilai eksport durian ini akan terus meningkat apabila pasaran-pasaran luar negara seperti China dapat diterokai dengan lebih meluas.

Bagi tanaman kelapa, saya difahamkan bahawa kita telah berjaya menghasilkan variety kelapa Careca dan Matag yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara. Varieti kelapa hybrid ini boleh menghasilkan buah sehingga 35,000 biji sehektar dan menjadikan industri penanaman kelapa ini berupaya menjadi sumber kekayaan baharu kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Selain pengeluaran buah yang tinggi dan rasanya yang enak, kelapa jenis ini mudah dituai kerana pokoknya rendah setinggi lebih kurang 6 kaki sahaja.

Bagi petani-petani muda atau petani moden, saya difahamkan mereka lebih cenderung kepada penggunaan teknologi di dalam bidang pertanian. Sebagai contoh, penggunaan teknologi fertigasi di Kuala Langat. Pertanian cili fertigasi di sini mampu memberi pulangan yang lumayan. Ini adalah sumber kekayaan yang baharu kepada anak-anak muda ini.

Dalam hal ini, saya ingin memperkenalkan beberapa orang usahawan tani yang menjadi contoh bagaimana mereka mampu mempertingkatkan pendapatan menerusi pertanian.

Pertamanya, saya perkenalkan Saudara Saipol Azimir Zainudin dari Kuala Langat. Beliau hanya berpendidikan sekolah rendah kerana terpaksa berhenti sekolah. Tetapi, hari ini beliau mempunyai lebih 1,000 ekor lembu dan kambing, dan boleh dianggap ‘jutawan lembu’ kerana hasil jualan beliau kini melebihi RM1 juta setiap tahun. Tahniah!

Contoh kedua adalah, Saudara Ramana K Naidu, seorang anak muda yang dulunya seorang juruterbang, kini memandu mesin penuai atau harvester di ladang jagungnya yang berkeluasan hampir 60 hektar di Kuala Muda Kedah. Beliau banyak menggunakan teknologi di ladang beliau, jadi memang amat sesuai dengan jiwa orang muda. Syabas saya ucapkan!

Kisah seterusnya, satu contoh baik untuk mengurangkan import susu. Dato’ Yap Yun Fook, seorang usahawan yang menternak lebih 5,000 ekor lembu tenusu di tanah tinggi banjaran Crocker di Keningau, Sabah. 60% daripada keperluan susu negeri Sabah hari ini dibekalkan oleh ladang beliau. Hebat dan tahniah kepada beliau!

Contoh seterusnya, siapa sangka tangan yang menghayun buaian mampu meredah gelombang lautan. Saudari Biby Aisya Assiah Kutty, usahawan perikanan dari Kelantan, mengusahakan 14 buah bot laut dalam di samping menggiatkan diri dalam industri hiliran rumpai laut sambil mengasaskan produk kosmetik Aisya Beauty Secret. Beliau kini berpendapatan melebihi RM2 juta setahun! Tahniah dan syabas kepada beliau.

Ini hanyalah sebahagian kecil daripada contoh untuk membuktikan bahawa sektor pertanian ini bukan satu sektor sekadar cukup makan sahaja. Bukan sekadar untuk mengeluarkan petani dari garis kemiskinan. Tetapi ia juga mampu memberi kekayaan kepada mereka yang mahu mengusahakannya. Sesungguhnya kejayaan mereka ini merupakan inspirasi kepada kita semua.

Hari ini juga, program Malaysia Food Festival (MFF) 2017 yang julung kali diadakan adalah satu usaha yang amat baik oleh Kementerian Pertanian bagi mempromosikan makanan dan keluaran pertanian tempatan di mata dunia.

Penceritaan konsep “Farm to Fork” yang digambarkan melalui program ini membolehkan rakyat menghargai titik peluh golongan petani, penternak dan nelayan untuk mengeluarkan hasilan yang berkualiti serta berkhasiat; dan seterusnya menjadi sajian makanan yang enak untuk kita nikmati.

Untuk lebih memahami Konsep Farm to Fork ini, saya ambil contoh Nasi Lemak Pak Naseer yang dihidangkan dalam penerbangan Air Asia. Nasi dihasilkan daripada padi dan santan kelapa pula daripada hasil penat lelah petani; rendang ayam pula hasil daripada hasil ternakan ayam tempatan, manakala ikan bilis pula hasil tangkapan para nelayan kita. Kesemua hasil pertanian ini telah digabung dan dijadikan sajian makanan yang digemari ramai. Dari ladang hingga ke meja makan! Inilah hasil industri kulinari kita para hadirin sekalian.

Industri kulinari ini merupakan sektor nilai tambah hasil pertanian yang memberi tumpuan kepada sajian makanan tempatan dan harus diterokai serta dipromosi dengan lebih meluas sehingga ke luar negara.

Dengan ini, saya memberi mandat kepada Kementerian Pertanian untuk menerajui pembangunan industri kulinari negara dari aspek pertanian. Perancangan rapi perlu dibuat untuk mengintegrasikan pengeluaran di peringkat ladang sehingga ke pelbagai outlet makanan sedia ada seperti kafe, restoran, food truck, drive-thru serta pesanan makanan secara online.

Kita telah melaksanakan banyak pelaburan berkaitan sektor pertanian untuk pembangunan kawasan luar bandar. Program Agropreneur Muda contohnya bertujuan untuk membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan pertanian di kalangan anak muda termasuklah di kawasan luar bandar.

Kita juga ada mendengar mengenai masalah mendapatkan tanah untuk tujuan pertanian, namun masih banyak tanah di kawasan luar bandar yang terbiar dan belum diterokai. Untuk ini, saya pernah mengumumkan supaya FELDA dan FELCRA yang mempunyai aset tanah yang banyak untuk menjadi Gedung Makanan Negara dengan melaksanakan aktiviti pengeluaran makanan pada skala besar.

Saya mahu lihat program Gedung Makanan Negara ini lebih berjaya dan dengan ini saya meminta supaya Kementerian Pertanian sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk menyelaras program berkenaan melalui pendekatan NBOS dan mengenal pasti pihak-pihak lain yang berkeupayaan untuk menjadi Gedung Makanan Negara.

Sebagai menghargai usaha petani, penternak dan nelayan yang saya lihat sebagai “pejuang” negara, saya mengumumkan bahawa Kerajaan meluluskan peruntukan one-off sebanyak RM30,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) bagi tujuan pemantapan organisasi PPK dan PNK. Ini akan melibatkan peruntukan dana sebanyak RM7 juta daripada Kerajaan bagi memanfaatkan seramai 1 juta ahli dari kalangan peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara.

Insya-Allah, dengan usaha berterusan Kerajaan dan semua, saya percaya bersama kita mampu melonjakkan lagi industri ini, membangun seiring dengan hasrat dan impian kita menjadi negara maju berpendapatan tinggi.