24 Mac, 2016

Hari Polis Ke-209


Setiap tahun kita meraikan sambutan memperingati hari polis, dan tahun ini adalah sambutan edisi ke-209.

Alhamdulillah, jika dibandingkan dengan negara-negara lain, Malaysia sememangnya bertuah kerana dikurniakan Allah SWT keadaan persekitaran yang stabil, aman dan damai.

Sebahagian besar daripadanya adalah hasil usaha yang tidak mengenal erti penat dan lelah anggota-anggota Polis Diraja Malaysia dalam menjaga dan memastikan keamanan yang kita nikmati ini terpelihara.

Hari ini, cabaran yang dihadapi Polis Diraja Malaysia dan anggota keselamatan negara untuk menangani keganasan dan marabahaya adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan dahulu.

Musuh negara kini lebih pintar, licik dan tidak dapat dijangka. Anggota-anggota keselamatan perlu sentiasa berada selangkah di hadapan mereka dalam keadaan bersiap siaga, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keganasan.

Pembendungan, pencegahan adalah lebih penting dan berkesan. Seperti kata pepatah, kita tidak mahu ‘sudah terhantuk baru tengadah’. Kita ingin supaya rakyat Malaysia semuanya sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terpelihara sepanjang masa.

Kita lihat dalam berita dan baca dalam surat khabar bahawa terdapat kumpulan dan sel pengganas yang telah ditumpaskan dan diberkas oleh Cawangan Khas, Unit Tindakan Khas dan anggota-anggota PDRM sebelum sempat mereka bertindak mengakibatkan kemusnahan dan kehilangan nyawa, hasil siasatan dan risikan terperinci yang telah dilakukan.

Dalam iklim ketidaktentuan dunia hari ini, Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga yang perlu seperti menempatkan anggota PDRM di kawasan-kawasan tumpuan rakyat dan pelancong.

Rata-rata ramai daripada kita dapat meneruskan kehidupan seharian seperti biasa adalah kerana di belakang tabir, anggota keselamatan dan risikan negara sentiasa berusaha menangani sebarang ancaman secara cepat dan berkesan.

Mereka tidak melakukan semua ini untuk mendapat pujian. Mereka menyabung nyawa hari demi hari hanyalah kerana mereka sayangkan negara dan ingin ia selamat sentiasa.

Tiba masa untuk kita rakyat Malaysia menghargai pengorbanan yang telah mereka lakukan demi tanah air tercinta.

Saya berdoa semoga semua anggota PDRM dan ahli keluarga mereka sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT.

Terima kasih dan selamat menyambut Hari Polis ke-209.

haripolis209