Harimau Malaya Akan Bangkit Semula

By October 11, 2017 Blog, Featured Articles

Sukan bola sepak adalah antara sukan paling diminati di seluruh dunia, termasuk juga di Malaysia. Hampir setiap dari kita ada pasukan kegemaran masing-masing, sama ada pasukan tempatan mahupun luar negara. Tetapi, walau pasukan mana kita sokong, apabila pasukan negara turun ke padang, kita semua beri sokongan cukup padu dan kuat kepada Harimau Malaya.

Lihat sahaja kehebatan sorakan dan sokongan yang dipamerkan oleh Ultras Malaya yang menghidupkan suasana stadium di setiap perlawanan, pada pandangan saya setanding atau lebih hebat daripada Icelandic Viking Clap, suasana di Galatasaray atau Boca Juniors!

Meskipun kita berbangga dengan kemenangan di Piala Suzuki pada 2010 dan emas Sukan SEA pada 2011, tetapi kita juga perlu akui bahawa sejak kebelakangan ini prestasi pasukan negara agak suram dan tidak begitu konsisten.

Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengatur dan mengolah semula dunia bola sepak tanah air dari peringkat akar umbi agar mampu kembali bersaing dan menjadi nama tersohor di dunia.

Ada banyak faktor yang perlu kita beri perhatian, pertamanya mungkin pandangan sesetengah ibu bapa yang tidak melihat kerjaya sebagai pemain bola sepak mempunyai masa depan, suatu tanggapan yang perlu kita tukar.

Kita juga perlu menyediakan platform untuk firma-firma korporat turut melihat nilai dan pulangan dalam menaja bola sepak di Malaysia, sama ada pemain kita, kelab dan skuad kebangsaan di setiap peringkat umur, sebagaimana pelabur dan firma korporat gergasi antarabangsa yang menaja kelab-kelab besar di Eropah. Tajaan amat penting dalam memastikan kelestarian dan pembangunan bakat serta masa depan sukan.

Sistem pencarian bakat atau “talent scouting system”  di peringkat akar umbi juga perlu kita perkuatkan agar dapat mencungkil bakat-bakat terpendam untuk masa hadapan.

Kita perlu membangunkan malah memberi nafas baharu kepada industri bola sepak secara keseluruhannya, sesuatu yang tidak boleh dicapai oleh Kerajaan atau badan induk semata-mata, tetapi perlu juga mendapat input, sokongan dan kerjasama daripada peminat, badan korporat, pelabur, kepakaran daripada institusi sains sukan dan perubatan, akademi bola sepak awam dan swasta serta pihak-pihak berkaitan lain. Dalam erti kata lain, kita memerlukan anjakan paradigma, atau “mentality shift” dalam kalangan penggiat sukan bola sepak tanah air.

Kesemua ini mengambil masa, kita tidak akan mampu mencapai perubahan dalam masa yang singkat. Mengambil contoh pasukan bola sepak kegemaran saya, Manchester United pun mengambil masa 7 tahun selepas pelantikan Sir Alex Ferguson untuk memenangi kejuaraan Liga dan 13 tahun sebelum memenangi Liga Juara-juara, itu di peringkat kelab, di peringkat kebangsaan mengambil masa yang lebih lama.

Kita perlu beri ruang dan masa kepada mereka yang bertanggungjawab untuk membina semula sukan bola sepak negara, dan saya yakin penambahbaikan dan usaha yang sedang dilakukan oleh FAM di bawah kendalian DYAM Tunku Mahkota Johor mampu membuahkan hasil.

Pada masa sama, saya menyeru kesemua pihak yang terlibat sama ada Kementerian Belia dan Sukan, akademi bola sepak awam mahupun swasta, badan korporat, peminat serta banyak lagi untuk terus bekerja bersama kerana matlamat dan impian kita untuk bola sepak adalah sama.

Kepada pemain kebangsaan, teruskan berusaha dan cuba lagi. Kegagalan sekali tidak bermakna gagal selamanya. Begitu juga dengan para pemain di sekolah, akademi, akar umbi, teruskan berusaha dan sasarkan kejayaan. Saya dan semua rakyat Malaysia akan terus menyokong.

Bola sepak memerlukan sokongan dan usaha bersama dari kita semua untuk membawanya kembali ke persada, barulah Harimau Malaya akan bangkit semula!