Hasil Lawatan ke China Mei 2017

Lawatan saya ke China selama 5 hari ini telah pun berakhir dan saya anggap ia mencapai keberhasilan yang sangat menggalakkan.

Jika dilihat kembali, lawatan yang bermula di Hangzhou dan berakhir di Beijing ini boleh dirumuskan berdasarkan 4 kejayaan utama:

1) 9 Perjanjian Persefahaman (MoU) Business-to-Business dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, pertanian, pasaran kewangan, infrastruktur dan kerjasama pelaburan sebanyak USD7.22 bilion atau kira-kira RM31.26 bilion. Kebanyakan projek ini akan dilaksanakan di Malaysia, antaranya Robotic Future City di Johor Bahru seluas 1,000 ekar yang akan melibatkan pelaburan melebihi RM15 bilion. Projek ini akan merangkumi pembangunan holistik dari segi penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, pendidikan, pengeluaran, perkhidmatan, dan pusat pameran.

Sabah dan Sarawak turut mendapat manfaat daripada lawatan ini. Di Sarawak, usahasama kilang penghasilan methanol dan derivatif antara Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak, Consortium of Huanhqiu Contracting & Engineering Co. dan MACFEAM Sdn Bhd yang bernilai RM2 bilion akan dibina dan dianggarkan siap pada tahun 2021. Manakala di Sabah, kerjasama untuk membangunkan The Shore yang bernilai USD132.58 juta telah dimeterai.

Syarikat penerbangan kos rendah AirAsia juga telah menjadi syarikat penerbangan kos rendah yang pertama luar China yang diberi lesen untuk beroperasi di China. Pelaburan ini bernilai USD 100 milion dan saya yakin syarikat-syarikat kita akan terus mendapat peluang-peluang yang lebih baik pada masa hadapan.

Dalam perbincangan saya bersama Perdana Menteri Li Keqiang, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan China akan terus menyokong syarikat-syarikat China melabur di Malaysia. Pelaburan-pelaburan dari negara luar seperti ini sudah pasti akan membantu rakyat kita dari segi penambahan peluang pekerjaan yang berpendapatan dan berkemahiran tinggi. Ini sejajar dengan cita-cita kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

2) Dari segi hubungan dua hala, Presiden Xi telah beritahu saya bahawa hubungan antara Malaysia dan China berada pada tahap terbaik dalam sejarah dan beliau telah mengucapkan terima kasih atas sokongan Malaysia terhadap inisiatif One Belt, One Road. Alhamdulillah, sebagai antara negara yang pertama menyokong inisiatif ini, kita sebenarnya telah mendapat manfaat langsung seperti pembiayaan pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) oleh Exim Bank of China.

Saya juga ambil maklum bahawa China telah menambah pembelian minyak sawit dari Malaysia atas permintaan saya pada lawatan November lepas. Kerajaan juga menjangkakan eksport minyak sawit ke China akan meningkat jauh lebih tinggi dengan Perjanjian Persefahaman antara Felda Global Ventures Holdings Bhd dan Sinograin Oils Corp. Perjanjian ini juga akan memberi akses kepada pasaran midstream dan downstream di China.

Saya percaya bahawa lebih banyak syarikat Malaysia akan menerima manfaat atas hubungan baik antara kepimpinan tertinggi Malaysia dan China.

3) Perkembangan dari segi Digital Free Trade Zone juga sangat memberangsangkan dengan Perjanjian Persefahaman antara Malaysia Digital Economy Corporation, Hangzhou Municipal Government dan Alibaba (China) Company Limited. Insya-Allah, kita akan dapat membangunkan industri e-commerce kita melalui inisiatif ini di mana Malaysia bakal menjadi hab ekonomi digital di rantau Asia Tenggara dengan anggaran pertumbuhan dua angka manakala Hangzhou pula akan menjadi hab di negara China. Ini adalah satu berita baik buat pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana di negara kita.

4) Semasa mesyuarat dua hala dengan Sri Lanka, saya telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk memulakan rundingan mengenai Malaysia – Sri Lanka Free Trade Agreement. Perdana Menteri Ranil Wickremensinghe juga telah menjemput syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur di sana atas dasar pelaburan mereka yang lebih terbuka.

Berkaitan dengan inisiatif cetusan Presiden Xi, saya yakin Malaysia akan menerima manfaat yang besar hasil daripada gagasan Belt and Road ini apabila wujudnya kesalinghubungan khususnya antara negara China dengan Asia Tengah, China dengan benua Eropah, China dengan Asia Tenggara, dan China dengan Afrika Timur.

Bayangkanlah rangkaian Belt and Road ini, skalanya besar dan komprehensif. Ia bakal menjadi suntikan dan rangsangan kepada pembangunan pelbagai sektor dan industri lantas menjana pertumbuhan yang lebih tinggi melalui infrastuktur yang baik sebagai pemangkin. Pengangkutan dan peralihan barangan tentunya menjadi lebih mudah dan murah membolehkan pengusaha kita menembus pasaran yang lebih besar.

Insya-Allah, dengan konsep shared prosperity dan win-win situation, saya percaya Malaysia bersama negara lain akan dapat merealisasikan potensinya di bawah gagasan One Belt, One Road.