Hasrat Rumah Baru Penduduk Kampung Kerinchi Tercapai

By February 27, 2017 Blog, Featured Articles

Alhamdulillah, saya sempat meluangkan masa bersama dengan pemilik unit Residensi Kerinchi di Kuala Lumpur pagi tadi.

Projek Residensi Kerinchi ini merupakan satu lagi pencapaian Kerajaan Barisan Nasional dalam membantu dan mentransformasi hidup rakyat terutamanya golongan B40.

Saya masih ingat lagi keadaan sedih Flat Empat Tingkat di Kampung Kerinchi yang dihuni penduduk sejak tahun 1971 sebelum bertukar wajah kepada apartmen moden Residensi Kerinchi. Dahulu, unit-unit Flat Empat Tingkat berkeluasan 380 kaki persegi, ada unit yang mempunyai bilik dan ada yang langsung tiada, dan unit-unit itu serta kawasan persekitaran berada dalam keadaan yang sangat usang dan comot dengan pelbagai masalah seperti tikus dan lubuk penagih dadah.

Lihat gambar di bawah. Inilah keadaannya satu ketika dahulu.

image 1

image 2

Sekarang, wajah kawasan ini telah melalui satu transformasi atau perubahan yang besar dan penduduk Flat Empat Tingkat dapat rumah baru yang jauh lebih selesa dan moden.

Bandingkanlah gambar-gambar tempat tinggal lama di atas dengan gambar bangunan baru yang disediakan untuk penduduk Flat Empat Tingkat kini.

image 3

Unit-unit di sini berkeluasan kira-kira 900 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air bagi setiap unit. Mesin basuh 2 dalam 1 yang dilengkapi dengan fungsi pengering turut disediakan agar penghuni tidak menyidai baju di ampaian bagi mengekalkan wajah apartmen yang kemas dan moden.

Saya yakin kualiti hidup penduduk sudah pastinya akan meningkat dengan pelbagai kemudahan yang disediakan seperti sekuriti, padang permainan, kolam renang dan gelanggang futsal.

image 7

image 6

image 5

image 4

Saya diberitahu bahawa penduduk juga diberi bantuan elaun pindah masuk daripada rumah transit ke Residensi Kerinchi sebanyak RM8,000.

Saya gembira projek pembangunan semula yang bersifat urban renewal ini dapat disiapkan walaupun banyak cabaran yang perlu diharungi.

Pihak pembangkang telah cuba untuk menggagalkan projek ini dengan menghasut penghuni Flat Empat Tingkat untuk membantah usaha membangunkan semula tempat tinggal lama mereka, yang uzur dan tidak sesuai untuk didiami lagi, kepada apartmen moden yang kita lihat sekarang.

Saya kesal kerana ada segelintir penduduk yang terpedaya dengan hasutan-hasutan pihak tak bertanggungjawab dan akibatnya, mereka hari ini mengalami kerugian besar.

Mereka yang termakan hasutan dan dakyah  pembangkang, bersekongkol dengan mereka, kini ditinggalkan. Batang hidung mereka pun tak nampak, macam mana nak memelihara masa depan anda semua.

Walaupun begitu, Alhamdulillah, dengan sokongan majoriti penduduk dan usaha kerajaan untuk membantu rakyat, penantian 472 keluarga untuk memulakan hidup baru di rumah yang lebih selesa berakhir hari ini.

Saya percaya bahawa ini adalah saat yang cukup bermakna bagi mereka, lebih-lebih lagi apabila penduduk Flat Empat Tingkat sendiri telah terlibat secara langsung dalam proses pembangunan semula ini. Mereka telah diberi peluang untuk memilih pihak pemaju yang bertanggungjawab dalam melaksanakan projek ini.

Melihat wajah-wajah gembira penduduk Residensi Kerinchi pagi tadi telah memberikan saya satu pengesahan bahawa usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat telah berjaya.

Saya yakin mereka juga akan menerima manfaat peningkatan harga unit yang berlipat ganda hasil daripada pembangunan semula ini dan saya harap pemilik baru Residensi Kerinchi tidak mengambil jalan mudah dengan menjual unit mereka.

Semoga anda semua hidup selesa dan saya beri jaminan bahawa kerajaan akan terus berusaha untuk membantu lebih ramai lagi, terutamanya golongan B40.

(Gambar oleh Pemaju Projek)