10 Mac, 2018

Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri Barisan Nasional


Hujan renyai-renyai di Pagoh pagi ini sewaktu saya mulakan lawatan ke sini di Perkampungan Orang Asli Kg Sentosa.

Walaupun cuaca redup, tapi keceriaan orang kampung menyambut saya buatkan saya terasa begitu bersemangat, terima kasih.

Saya ke sini untuk meninjau gelanggang futsal baharu yang telah dibina untuk masyarakat Orang Asli di sini.

Gelanggang ini sebenarnya usaha terbengkalai yang dijanjikan pemimpin terdahulu tetapi sehingga kini tidak dikotakan. Alhamdulillah hari ini telah siap di bawah Kerajaan Barisan Nasional.

Saya juga berbesar hati mengumumkan peruntukan tambahan RM20,000 bagi membina lampu limpah bagi gelanggang futsal ini, dapatlah mereka main walaupun di waktu malam.

Seterusnya saya menuju ke Institut Kemahiran Belia Negara Pagoh, untuk melancarkan Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri Barisan Nasional Peringkat Kebangsaan.

Begitu ramai yang hadir, saya dimaklumkan hampir 12,000, dan kesemua mereka pun begitu bersemangat!

Saya nyatakan kepada semua yang hadir, bahawa kalau ini semangat mereka menandakan bahawa mereka dah siap siaga untuk PRU-14 nanti!

Saya juga mengingatkan kepada Pemuda dan Puteri, bahawa Barisan Nasional bukanlah seperti parti pembangkang yang tidak mempunyai agenda untuk negara, hanya agenda peribadi semata-mata.

Tak seperti mereka, kita ada perancangan yang kukuh, dan track record yang terbukti dengan pelbagai kejayaan dan janji yang telah kita tunaikan.

Saya juga suka untuk mengumumkan bahawa dalam manifesto Barisan Nasional nanti, akan ada satu bab khusus untuk orang muda Malaysia, meliputi soal ilmu dan kemahiran, gaji dan pendapatan, peluang pekerjaan, tempat tinggal dan banyak lagi.

Sebut pasal manifesto, baru-baru ini pembangkang ada melancarkan manifesto mereka, yang penuh dengan janji-janji manis umpama madu tapi sebenarnya racun berbisa. Bukan sahaja itu, malah manifesto mereka juga hipokrit, layaklah digelar Harapan Palsu!

Saya ambil contoh, mereka cadang nak hadkan jawatan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar kepada 2 penggal sahaja. Kenapa sekarang baru nak cadangkan, kenapa bukan dahulu semasa ketua mereka jadi Perdana Menteri 5 penggal setengah.

Malah kalau ikutkan manifesto mereka, sepatutnya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dah boleh letak jawatan. Saya ucapkan selamat bersara saudara Lim Guan Eng.

Selain itu, mereka juga ada sentuh mengenai isu perumahan. Kita tengok sahaja rekod prestasi mereka dalam membangunkan rumah mampu milik, dan bandingkan dengan Kerajaan Barisan Nasional.

Di bawah Kerajaan BN, lebih 50% rumah mampu milik telah siap dibina dan sedang dibina, bakinya pula dalam perancangan dan akan diusahakan dalam masa terdekat.

Kita tengok di negeri-negeri pembangkang. Kira-kira 76% daripada rumah baru berharga lebih RM1 juta yang dilancarkan tahun lepas adalah daripada Pulau Pinang dan Selangor. Pulau Pinang dan Selangor juga mempunyai paling banyak bekalan rumah berharga RM1 juta dan ke atas yang tidak terjual.

Di Selangor, sembilan projek Selangorku dibatalkan manakala di Pulau Pinang pula, selepas 9 tahun kerajaan negeri masih gagal menyerahkan kunci rumah mampu milik kepada rakyat.

Lebih daripada itu kita juga dapat tengok betapa mereka cacamarba, macam-macam masalah dalam parti mereka, kenyataan bercanggah, u-turn sana, u-turn sini.

Parti sendiri pun mereka tak boleh tadbir, macam mana nak tadbir negara?

Jauh sekali mereka jika nak dibandingkan dengan Barisan Nasional.

Kita ada pelan dan perancangan untuk masa depan negara, untuk anak muda. Barisan Nasional adalah parti yang bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga untuk masa depan.

Saya akhiri ucapan saya dengan pesanan dan amanat saya kepada Pemuda dan Puteri, dan suka saya kongsikan bersama anda semua.

Pemuda dan Puteri adalah jentera kuat parti. Mereka telah pun diberikan tugasan, dan saya ingin semua pastikan tugasan ini dijalankan dengan lancar.

Kini masanya untuk Pemuda lebih agresif, berani dan serang habis-habisan.

Puteri teruskan dengan ketekunan, terus buat kerja bersungguh-sungguh.

Usaha ini semua kita laksanakan bersama-sama Wanita, bersama semua parti komponen dalam keluarga BN.

Insya-Allah, andai usaha ini kita teruskan, bersatu hati sesama kita dan dengan penuh semangat untuk Negaraku Malaysia, kita mampu berjaya di PRU-14 nanti!.

Pagoh akan kembali kepada kita, Johor akan kekal menjadi tonggak BN, dan tampuk kepimpinan Malaysia terus diterajui Barisan Nasional!

Hidup BN!