Ibadah Haji Umat Islam Malaysia

By December 28, 2016 Blog, Featured Articles
Ibadah Haji Umat Islam Malaysia

Menunaikan Haji adalah sebahagian daripada rukun Islam, dan Kerajaan amat prihatin dan sedar bahawa umat Islam di Malaysia menyimpan hasrat mengunjungi tanah suci sebagai tetamu Allah SWT suatu hari nanti.

Dahulu, umat Islam di Malaysia terpaksa menyimpan berpuluh tahun lamanya, ada yang terpaksa menjual barangan kemas, harta benda dan haiwan ternakan untuk mengumpul cukup simpanan bagi menziarah Tanah Suci Mekah.

Alhamdulillah, hari ini melalui Tabung Haji, urusan jemaah Haji jauh lebih mudah dan ringkas. Selain memberikan ruang buat umat Islam menyimpan wang beransur-ansur untuk melengkapkan perbelanjaan ke Tanah Suci, Tabung Haji turut berperanan mengatur dan menguruskan pemergian jemaah Haji ke Kota Mekah selain memastikan keselamatan, keselesaan dan kebajikan mereka terpelihara ketika menunaikan fardhu Haji.

Malah, lebih daripada itu, Tabung Haji turut memberikan subsidi buat jemaah Haji bagi membantu memudahkan lagi urusan mereka dalam menyempurnakan ibadah Haji yang mabrur.

Meskipun kos pengurusan Haji meningkat saban tahun, sepertimana pada tahun hadapan meningkat kepada RM19,550 seorang, kadar bayaran Haji buat jemaah tidak berubah sejak 2009, masih kekal RM9,980 seorang.

Kos selebihnya ditanggung Tabung Haji dengan penambahan subsidi keseluruhan, tahun 2017 berjumlah RM200 juta daripada RM160 juta tahun ini.

Ini adalah sebahagian daripada usaha kita memelihara serta terus menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia serta membantu umat Islam menyempurnakan rukun Islam kelima.

Mudah-mudahan, Malaysia akan terus berada dalam peliharaan, dikurniakan rahmat keamanan dan kesejahteraan oleh Allah SWT, Insya-Allah.