24 Julai, 2017

Impak Pembinaan Projek MRT


YAB Perdana Menteri menjawab pertanyaan YB Simpang Renggam Datuk Liang Teck Meng berkenaan impak projek MRT tanpa melibatkan sebarang perjanjian konsesi dan pertanyaan YB Hulu Langat Dr. Che Rosli Bin Che Mat berkenaan komitmen kerajaan untuk membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur sedia ada akibat pembinaan MRT di Parlimen pada pagi tadi. Berikut adalah jawapan YAB Perdana Menteri – Admin

SOALAN

1) Apakah impak sistem pengangkutan MRT yang dapat dibangunkan tanpa melibatkan sebarang perjanjian konsesi serta kejayaan menyiapkan projek tersebut dengan kos yang lebih rendah berbanding sasaran awal serta masih mengikut jadual?

2) Apakah komitmen kerajaan untuk membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur sedia ada akibat pembinaan MRT?

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Terdapat banyak kelebihan apabila kerajaan membangunkan sesuatu projek infrastruktur, terutamanya projek pengangkutan awam dengan menggunakan model pembiayaan langsung dan bukan dengan menggunakan model konsesi.

Kita baru sahaja melancarkan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dan projek ini yang telah dapat disiapkan menepati jadual, malah dengan penjimatan sebanyak RM2 bilion daripada kos pembinaan projek, merupakan contoh yang terbaik ataupun “success story” untuk projek yang dibiayai secara langsung oleh kerajaan dan bukan menggunakan konsesi.

Kelebihan projek yang dibiayai secara langsung adalah kerajaan dapat mengawal dan mengawasi projek dengan lebih ketat dan rapi dengan menggunakan struktur projek yang baik. Struktur yang baik dari segi urus tadbir ataupun governance, pembiayaan, mahupun implementasi, dengan nyata telah menjadi faktor-faktor yang membawa kejayaan kepada projek MRT.

Bagi struktur urus tadbir projek MRT, terdapat Jawatankuasa Eksekutif atau Exco Projek MRT yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan dengan ahli-ahlinya yang terdiri daripada agensi kerajaan yang terlibat dengan pembangunan Projek MRT. Melalui Exco ini perkara-perkara seperti peruntukan, ataupun kekangan yang menghalang kemajuan projek ini, dapat diputuskan atau diselesaikan dengan segera. Struktur Exco ini telah dapat mempercepatkan proses pelaksanaan projek ini dan menyumbang kepada faktor kejayaan projek. Amalan ini akan digunapakai dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan yang lain bagi memastikan implementasi yang cekap bersandarkan ketelusan dan integriti dengan birokrasi yang minima.

Dari segi pembiayaan pula, tanggungjawab untuk menyediakan dana pembiayaan projek ini telah diasingkan dan dikeluarkan daripada tanggungjawab pemilik projek MRT Corp. Dana untuk membangunkan Projek MRT telah diuruskan oleh DanaInfra Nasional Bhd melalui terbitan sukuk. Ini telah dapat menyelesaikan isu pembiayaan projek dengan jayanya.

Struktur implementasi projek yang dipakai untuk projek ini iaitu dengan perlantikan Rakan Pelaksana Projek ataupun Project Delivery Partner (PDP) juga merupakan faktor yang penting. Di samping mengawasi prestasi kesemua kontraktor-kontraktor, pihak PDP juga menampung segala risiko projek di mana PDP dikenakan penalti jika projek tidak dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan ataupun kosnya melebihi apa yang disasarkan.

Prestasi PDP ini pula diselia oleh MRT Corp, yang merupakan syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menjadi pemilik dan pemaju Projek MRT.

Struktur-struktur yang dihuraikan ini dengan sendirinya tidak akan mendatangkan apa-apa hasil jika ianya tidak ditemukan dengan “human element” yang betul.

Kerjasama dan persefahaman serta semangat berpasukan di kalangan semua pihak – misalannya, untuk Projek MRT, antara MRT Corp dengan PDP, ataupun antara PDP dengan kontraktor-kontraktor pakej kerja, antara kontraktor pakej kerja dengan subkontraktor dan pembekal – adalah merupakan perkara yang amat penting bagi menjayakan projek tersebut.

Di kalangan pegawai kerajaan pula, kerjasama dan persefahaman ini wujud bukan sahaja di antara agensi-agensi kerajaan persekutuan, malah juga antara agensi-agensi kerajaan persekutuan dengan agensi-agensi kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan.

Ketelusan, urus tadbir yang baik dan integriti tidak sesekali dikompromi. Oleh itu bagi Projek MRT ini, antara ahli Exco Projek MRT adalah terdiri wakil-wakil dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan juga dari Jabatan Audit Negara. Ini telah memastikan bahawa projek ini mempunyai tahap ketelusan dan integriti yang baik sekali.

Untuk menjawab soalan daripada YB Hulu Langat, melalui pembinaan Projek MRT ini, beberapa kemudahan dan infrastruktur juga telah ditambah baik. Ini termasuk jalan-jalan utama di Kajang seperti Jalan Cheras dan Jalan Reko yang telah ditambahbaik dengan penambahan dari dua lorong kepada empat lorong dan penurapan semula jalan bagi keselesaan pengguna jalan raya. Pembinaan hentian bas perantara dan teksi turut tidak dilupakan bagi memastikan kesinambungan jaringan pengangkutan yang efisen dapat direalisasikan. Malah di Sungai Buloh dan Kajang, skop kerja Projek MRT ini termasuk penambahbaikan fasiliti stesen KTM, di mana bangunan stesen yang baru telah dibina untuk KTM.

Sepanjang proses memastikan projek MRT ini disiapkan mengikut jadual dan berjaya, pihak MRT Corp tidak pernah mengabaikan kesulitan dan ketidakselesaan yang dihadapi oleh mana-mana pihak yang terkesan di sepanjang jajaran projek. Pihak MRT Corp sentiasa bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang aduan dan kerosakan yang telah dibuktikan disebabkan oleh pembinaan projek MRT ini.

Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles