Imunisasi Dan Vaksin

By June 23, 2016 Blog, Featured Articles
Vaccine

Dalam perjalanan pulang ke KL dari Pekan semalam, saya lihat di media sosial hangat diperbincangkan mengenai vaksin. Amat sedih saya baca berita ada kematian akibat difteria, sejenis jangkitan yang telah lama berjaya kita tangani dan mudah dicegah dengan penggunaan vaksin dalam program imunisasi.

Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan Kementerian Kesihatan yang diperkenalkan lebih 50 tahun dahulu dan diberikan secara percuma adalah bersandarkan kepada syariat Islam di dalam konsep Maqasid Syariah iaitu Hifz Al-Nafs, atau pemeliharaan jiwa.

Alhamdulillah, melalui program imunisasi ini, kita telah berjaya mengatasi dan membendung penularan pelbagai jenis penyakit berjangkit. Tetapi segala usaha ini akan menjadi sia-sia sekiranya ada dalam kalangan kita yang menyebarkan berita-berita dan khabar angin yang menimbulkan keraguan terhadap pemberian vaksin atau imunisasi ini. Lebih malang lagi, berita-berita palsu ini disebar menggunakan alasan agama Islam oleh orang Islam sendiri.

Tindakan segelintir ibu bapa yang enggan bayi dan anak mereka menerima suntikan vaksin atau mengikuti program imunisasi ini amat membimbangkan. Tindakan ini bukan sahaja mampu membawa mudarat kepada bayi atau anak mereka, tetapi berupaya membawa kepada penularan semula penyakit berjangkit yang telah lama berjaya dikawal dari merebak di bumi Malaysia ini. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195, mafhumnya, “… dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..” Wallahu’alam.

Sebagai umat Islam, sememangnya hanya kepada Allah SWT kita berharap, tetapi pada masa sama harapan itu harus kita sertakan dengan usaha, seperti firman Allah SWT dalam Surah Ar Ra’d ayat 11, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” Wallahu’alam.

Saya harap ibu bapa, terutama yang beragama Islam, janganlah mudah terpengaruh dengan berita-berita dan khabar angin ini, utamakan kesihatan anak-anak anda dan jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab.

Dan kepada mereka yang menyebarkan berita-berita dan khabar angin ini menggunakan alasan agama, berhentilah daripada berbuat demikian, jangan memandai-mandai. Rujuk kepada mereka yang lebih tahu mengenai perkara ini.