1 Disember, 2018

Industri pelancongan merosot


Ekonomi negeri Melaka banyak bergantung kepada industri pelancongan.

Semasa sesi sembang santai semalam, saya ada kongsikan kerisauan mengenai kejatuhan industri pelancongan kita tahun ini.

Pada 3 bulan pertama tahun ini semasa BN masih mentadbir, jumlah pelancong asing ke Malaysia menunjukkan peningkatan termasuk kenaikan 37.2% jumlah pelancong dari China.

Berdasarkan angka itu, Menteri Pelancongan PH berkata pada bulan Ogos bahawa beliau yakin bahawa sasaran kerajaan BN untuk jumlah pelancong asing sebanyak 33.1 juta orang untuk tahun ini akan dicapai.

Malangnya pada bulan September, Kementerian Pelancongan mengumumkan bahawa mereka telah menurunkan sasaran untuk tahun ini menjadi 17% lebih rendah – iaitu dari 33.1 juta kepada 26.4 juta pelancong asing.

Manakala sasaran untuk hasil dari pelancongan untuk tahun ini turut diturunkan 37% dari RM134 bilion kepada RM84.9 bilion – iaitu kejatuhan RM50 bilion.

Walaupun sasaran untuk tahun ini telah diturunkan dengan banyak, laporan media bulan lepas menunjukkan kerisauan industri pelancongan bahawa sasaran yang lebih rendah ini juga tidak akan dapat dicapai.

Ini kerana jumlah pelancong asing untuk 8 bulan pertama tahun ini bertukar kepada kejatuhan berbanding kenaikan untuk 3 bulan pertama.

Yang menaik tiba-tiba bertukar menurun.

Jumlah pelancong dari Singapura jatuh 16.3% manakala jumlah pelancong dari China jatuh 30% pada bulan Oktober.

Antara satu sebab kejatuhan ini yang diberi oleh ahli-ahli industri pelancongan ialah hubungan diplomatik negara kita dengan mereka telah merosot.

Media pagi ini juga melaporkan bahawa bilangan kapal persiaran (cruise ship) yang berlabuh di Pulau Pinang telah jatuh dari 1,985 buah kapal untuk tahun lepas kepada 1,119 buah kapal setakat bulan November tahun ini – iaitu kejatuhan 500,000 orang pelancong.

Semalam juga, persatuan MATTA yang mewakili industri pelancongan memberi amaran bahawa langkah kerajaan PH bulan lepas untuk naikkan cukai lapangan terbang tahun depan dan menghadkan masa operasi semua pusat hiburan akan memberi impak negatif besar kepada jumlah pelancong asing tahun depan.

Saya risau bukan untuk Melaka sahaja tetapi untuk seluruh negara kerana ini industri kedua terbesar untuk negara di mana 22.7% rakyat Malaysia ataupun 3.2 juta orang bergantung kepada industri ini untuk pekerjaan.

Sumbangan industri ini amat besar kepada ekonomi negara.

Apabila perniagaan merosot, sudah tentu akan ada yang bakal kehilangan pekerjaan.