Isu Felda Global Ventures

Saya telah menerima laporan bebas daripada Dato’ Sri Idris Jala berkenaan isu Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGV), dan setelah berbincang bersama beliau dan bertemu sendiri dengan Tan Sri Isa Samad pagi tadi, keputusan sebulat suara telah dibuat di mana Tan Sri Isa telah dengan rela hati melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV dan tempatnya diganti oleh Tan Sri Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi berkuatkuasa serta-merta.

Sementara itu, bagi menghargai dan memberi peranan selanjutnya buat Tan Sri Isa Samad, saya telah bersetuju untuk melantik beliau sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), juga berkuatkuasa serta-merta.

Pada masa sama, melalui Lembaga Siasatan FGV, tindakan dalaman akan diambil untuk menentukan proses keadilan berkenaan perkara yang berlaku kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV dan juga 3 individu lain.

Ingin saya tegaskan bahawa siasatan bukanlah bererti mereka bersalah, sebaliknya tindakan ini adalah sebahagian daripada prinsip tadbir urus syarikat senaraian awam dan sesudah ia selesai, pihak Lembaga Pengarah FGV akan membuat keputusan yang seadil dan sebaik mungkin.

Penyusunan semula ini mencerminkan hasrat kerajaan meletakkan FGV di landasan yang lebih kukuh dari segi urusan dan saya yakin FGV akan mempunyai masa depan yang cerah.