11 November, 2016

Isu Keselamatan Malaysia-Filipina


Dalam kunjungan pertama beliau ke Malaysia, Presiden Rodrigo Duterte dan saya telah mengadakan perbincangan di dua peringkat, bermula dengan pertemuan tertutup dan kemudiannya diikuti pula dengan perbincangan bilateral.

Antara isu penting yang kami telah bincangkan ialah berkaitan keselamatan. Kami berdua sedar bahawa kawasan Filipina Selatan tidak akan tenteram selagi proses pendamaian tidak dimuktamadkan.

Presiden Duterte menghargai peranan Malaysia dalam usaha perdamaian dan mengharapkan kita akan terus membantu melalui peranan pasukan pemantau, dan saya telah memberi persetujuan.

Seterusnya, kami turut membincangkan masalah serius yang berlaku di kawasan perairan Sabah, kejadian penculikan yang mengganggu-gugat keharmonian dan kedamaian rakyat Sabah serta menjejas kedatangan para pelancong.

Presiden Duterte menegaskan bahawa Kerajaan Filipina amat serius dalam usaha menangani ancaman ini. Filipina telah pun menawarkan kerjasama tri-lateral kepada Malaysia dan Indonesia bagi tujuan tersebut.

Dalam rangka kerja kerjasama tri-lateral ini, kita diberikan kebenaran melakukan ‘hot pursuit’, kita dibenarkan untuk meneruskan pemburuan kumpulan penculik atau pengganas melangkaui sempadan Filipina, dengan syarat kita menghubungi dan memaklumkan pihak tentera laut Filipina mengenainya.

Perkembangan baharu ini memberi isyarat bahawa kita amat komited untuk melakukan apa sahaja bagi menghapuskan kejadian penculikan di kawasan itu.

Selain itu, berkenaan soal pendatang asing tanpa izin dari Filipina di Sabah, kami bersetuju untuk menghantar mereka pulang ke Filipina secara berperingkat.

Meskipun hubungan kedua-dua buah negara boleh dianggap sebagai baik, kami berdua yakin ia boleh ditingkatkan lagi dan kami bersetuju untuk mencari langkah-langkah praktikal bagi mengeratkan lagi hubungan Malaysia dan Filipina ke tahap yang lebih baik lagi.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles