3 Mei, 2018

Jangan Termakan Fitnah dan Hasutan Pembangkang


Sebenarnya, pembangkang ini terdesak untuk mendapat sokongan rakyat. Itu sahaja yang boleh kita simpulkan meihat kempen yang dijalankan mereka, tidak henti-henti menabur fitnah dan menghasut serta menyalahkan Barisan Nasional tanpa sebarang bukti yang sahih.

Bermula daripada hari pertama kempen Pilihan Raya Umum ke 14, mereka terus melancarkan #TsunamiPhitnah kononnya Barisan Nasional berkomplot dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia untuk menggagalkan pendaftaran calon Pakatan. Walhal, calon mereka sebenarnya gagal membuat persiapan dengan sebaiknya.

PH sering menyalahkan BN bagi setiap kegagalan mereka walaupun ianya tidak ada kaitan dengan kita. Setiap kegagalan Pakatan Harapan disalahkan kepada Barisan Nasional walaupun ia berpunca daripada mereka sendiri. Puak pembangkang menggunakan platform media sosial untuk menagih simpati dan memperdayakan rakyat mengenai keadaan sebenar.

#TsunamiPHitnah, begitu ghairah disebarkan menerusi laman media sosial dan medium komunikasi seperti Whatsapp. Malah foto saya dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pun di-Photoshop, kononnya sedang tengok bongkahan duit.

Sedangkan gambar asalnya kami sedang melihat rekaan susun atur tapak projek Taman Tugu, di ibu negara. Itulah taktik kotor pihak pembangkang dan penyokong mereka untuk memburukkan saya dan Barisan Nasional, dan menimbulkan kemarahan rakyat kepada kita.

Selain itu pembangkang juga menimbulkan panik kepada rakyat yang ingin menyokong Barisan Nasional apabila menyebarkan maklumat kononnya kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bakal naik kepada 9% jika Barisan Nasional menang. Kita tidak bercadang untuk menaikan kadar GST, akan terus kekalkan kadar GST pada tahap 6%, terendah di ASEAN!

Selain itu, mereka sebarkan semula fitnah yang dikitar semula daripada PRU13 kononnya Barisan Nasional membawa ‘pengundi hantu’ iaitu warga Bangladesh untuk mengundi. Mereka menfitnah kain rentang yang ditulis dalam bahasa Telugu dikatakan bahasa Bangladesh!

Ini menunjukkan betapa ceteknya kesedaran pembangkang terhadap bahasa yang dituturkan rakyat di negara ini hinggakan mereka tidak mengenali bahasa Telugu iaitu bahasa kedua terbesar dalam kalangan kaum India di Malaysia selepas bahasa Tamil.

Banyak lagi fitnah telah tersebar di alam maya sejak kebelakangan ini, semuanya berniat jahat untuk memburukkan Barisan Nasional bagi merai undi dari rakyat. Saudara-saudari boleh lihat sendiri fitnah-fitnah terkumpul Pakatan Harapan dan penyokong-penyokong mereka di laman web rasmi Barisan Nasional.

Saya harap rakyat Malaysia akan menapis segala maklumat yang diterima pada musim pilihan raya ini. Dalam Islam sendiri kita diseru untuk mengamalkan konsep tabayyn atau menyelidik kesahihan maklumat bagi mengelak sebarang fitnah.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 6, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu mengenainya, sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Janganlah mudah terpedaya dengan tipu helah dan permainan simpati pihak pembangkang. Mereka bukan memikirkan kepentingan rakyat, sebaliknya hanya memperjuangkan agenda peribadi. Kononnya nak selamatkan Malaysia tapi sebenarnya Malaysia yang perlu diselamatkan daripada mereka!

Pelbagai kejayaan yang diraih Malaysia dalam bidang ekonomi dan sosial adalah bukti Kerajaan pimpinan Barisan Nasional telah meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk terus memacu kejayaan negara pada masa akan datang.

Jadi apabila tiba 9 Mei nanti, kita pilihlah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan politik dalam masyarakat berbilang bangsa, mempunyai agenda pembangunan negara yang menyeluruh dan mantap yang akan dapat meningkatkan lagi tahap kehidupan rakyat.

Bersama BN, Hebatkan Negaraku!