28 Februari, 2018

Jaringan Keselamatan Sosial buat Pekerja


Kekayaan sebenar sesebuah negara itu bukanlah terletak pada sumber semulajadi, tetapi ada pada sumber manusianya.

Saban tahun, ramai lepasan universiti keluar meninggalkan alam pembelajaran dan menginjak masuk ke dunia pekerjaan. Cabaran buat Kerajaan adalah untuk terus memastikan ekonomi berkembang supaya pekerjaan bukan sahaja tersedia tetapi juga bertambah banyak untuk rakyat Malaysia.

Alhamdulillah, hasil dasar ekonomi kukuh kita, setakat 2017 sebanyak 2.26 juta pekerjaan baharu berjaya kita wujudkan manakala kadar pengangguran di Malaysia juga rendah pada 3.3 peratus atau kira-kira 505,800 orang.

Bandingkan nilai ini dengan negara-negara besar, kadar ini jauh lebih rendah daripada negara-negara seperti Australia, 5.5 peratus atau seramai 720,000 orang, United Kingdom, 4.3 peratus atau kira-kira 1.5 juta orang, dan Amerika Syarikat, 4.1 peratus atau seramai 6.7 juta orang.

Ada banyak penyumbang kepada kadar pengangguran, misalnya pekerja yang mencari pekerjaan baharu untuk mengembangkan kerjaya, atau ada masanya ia di luar kawalan pekerja, seperti syarikat yang menceburi bidang baharu, berpindah atau mengecilkan operasi hasil daripada kemajuan teknologi dan automasi, dan sebagainya.

Saya faham perasaan mereka yang kehilangan pekerjaan dan tidak punya pendapatan tetapi ada tanggungan dan tanggungjawab untuk ditunaikan.

Inilah sebabnya saya memperkenalkan satu inisiatif jaringan keselamatan sosial kepada mereka yang kehilangan pekerjaan atau menganggur melalui Skim Insurans Pekerjaan atau lebih popular dengan nama SIP atau EIS di Malaysia.

Melalui Skim Insurans Pekerjaan ini, mereka yang kehilangan pekerjaan dan layak akan menerima bukan sahaja bantuan kewangan tetapi juga bantuan sokongan seperti bantuan carian kerja, kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan.

Saya senaraikan antara faedah-faedah yang disediakan SIP iaitu; Elaun Mencari Pekerjaan kepada penganggur dalam tempoh pencarian kerja, Elaun Bekerja Semula Awal bagi mereka yang kembali bekerja awal, Elaun Pendapatan Berkurang bagi yang mempunyai lebih daripada 1 majikan, Elaun Latihan berdasarkan permohonan dan keperluan pekerja, dan Fi Latihan kepada penyedia latihan yang dilantik.

Dari segi perkhidmatan pekerjaan, SIP menyediakan kaunseling kerjaya, kaunseling pekerjaan, pencarian kerja, pemadanan kerja, penempatan pekerjaan melalui pendekatan pengurusan kes dan rujukan latihan untuk latihan, latihan semula, upskilling, reskilling dan sebagainya.

Kalau anda perasan, dalam slip gaji anda bermula Januari tahun ini tercatat caruman SIP atau EIS, yang mana kadarnya adalah 0.2 peratus syer majikan dan 0.2 peratus syer pekerja dan dihadkan sehingga jumlah gaji RM4,000, bermakna amaun potongan adalah serendah 5 sen dan maksimum hanyalah RM7.90 sahaja bagi mereka yang bergaji RM4,000 dan ke atas.

Tuntutan skim ini boleh dibuat bermula 2019, dan jumlah bayaran melalui SIP yang akan diberikan bergantung kepada peratusan kadar bulanan menurun 80%, 50%, 40%, 40%, 30% dan 30% daripada gaji yang diinsuranskan dengan amaun maksimum tuntutan sebanyak RM10,800, dan diberikan kepada penganggur dalam tempoh pencarian pekerjaan untuk tempoh 3 hingga 6 bulan.

Sebagai permulaan, bagi tempoh antara 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM122 juta kepada PERKESO bagi membolehkan mereka menyalurkan bantuan elaun interim sebanyak RM600 sebulan bagi tempoh 3 bulan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan.

Saya difahamkan sehingga 7 Februari tahun ini, sebanyak 1,272 permohonan bantuan interim SIP telah diterima PERKESO dengan 264 diluluskan dan menerima bayaran bulan pertama pada Januari. Daripada program bantuan kaunseling kerjaya dan pemadanan kerjaya pula, seramai 6 orang telah pun mendapat pekerjaan baharu.

Meskipun tiada siapa yang menginginkan situasi di mana mereka kehilangan pekerjaan dan tiada punca pendapatan, tetapi kita perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Pepatah Melayu menyebut, “Sediakan payung sebelum hujan”, dan Kerajaan hari ini adalah Kerajaan yang sentiasa prihatin dan juga berpandangan jauh, memikirkan kepentingan bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk masa depan.

Insya-Allah, selagi mana saya memimpin Kerajaan, saya akan terus memastikan kebajikan para pekerja di Malaysia terpelihara, kerana kekayaan sebenar sesebuah negara itu bukan terletak pada sumber semulajadi, tetapi ada pada sumber manusianya.

Kerajaan ini akan sentiasa meletakkan Rakyat mengatasi poltik, pencapaian mendahului retorik.