Jelajah Pendidikan Bumiputera

By March 11, 2017 Blog, Featured Articles

Alhamdulillah, pagi tadi di Bera, begitu ramai hadir untuk sama-sama menyaksikan satu program yang cukup besar pengertian dan amat dekat di hati saya.

Program Jelajah Pendidikan Bumiputera ini amat penting jika kita ingin mengubah masa depan orang Melayu dan Bumiputera, pendidikan adalah senjata paling ampuh.

Tahun lalu ketika program ini dilancarkan di Kuala Selangor, penglibatan terhad kepada hanya dua universiti, UiTM dan UniKL.

Kini, 19 buah IPTA dan semua kolej politeknik TVET serta institusi lain turut menjayakan program ini.

Kerajaan di bawah kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional sentiasa memperjuangkan keadilan sosial dan kesaksamaan masyarakat.

Kita menyediakan ribuan peluang pendidikan bagi rakyat yang miskin, dari kalangan orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak dan juga orang Asli, agar mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.

Kalau di bawah pembangkang yang ditunjangi DAP, jangan harap ada program sebegini akan dilaksanakan, jangan harap IPTA akan buka pintu seluas begini untuk orang Melayu dan Bumiputera yang miskin melanjutkan pelajaran, apatah lagi keluar ke ceruk-ceruk dan pelusuk negara mencari orang untuk diberi bantuan.

Di bawah program ini, sehingga kini, lebih 37 ribu anak bangsa telah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi. Saya sasarkan tahun ini untuk 50 ribu lagi pelajar untuk mendapat tempat di IPTA dan Kolej TVET dan sebagainya.

Insya-Allah, kita akan teruskan program ini untuk bantu lebih ramai lagi anak bangsa agar tidak ketinggalan dan maju membangun bersama dengan negara.

Oleh itu rebutlah, ambillah, dan manfaatkanlah peluang yang tersedia. Saya mahu anda semua berjaya, dan pendidikanlah landasan terbaik untuknya.