Jom Bantu Rakyat Terengganu

By April 17, 2017 Blog, Featured Articles

Petang semalam, saya telah merasmikan satu lagi projek perumahan mampu milik untuk rakyat Terengganu di Kampung Santong, Paka.

Inisiatif ini akan dijalankan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan bukan sahaja rumah yang dibina akan dijual pada harga mampu milik, malah mempunyai kualiti yang baik. Ini adalah salah satu agenda kerajaan dalam membantu rakyat yang berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.

Bagi projek ini, sebanyak 229 unit Rumah Idaman Rakyat akan dibina menggunakan teknologi Industrial Building System dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mei 2019 oleh SPNB.

Insya-Allah kepada pembeli yang layak, anda bakal menerima manfaat dan keselesaan rumah baharu kelak.

Saya gembira projek ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan saya diberitahu bahawa lebih 800 permohonan telah dibuat untuk rumah mampu milik berharga RM68,000.

Selain itu, saya juga turut mengumumkan bantuan-bantuan lain yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat.

Antaranya, pembinaan 200 buah Rumah Bina Negara, pemberian geran tanah yang memanfaatkan 246 orang, bantuan kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 1,000 orang, bantuan sara hidup kepada 1,040 nelayan kawasan Dungun, Paka dan Marang, bantuan transformasi orang muda kepada 12,718 penerima, bantuan tuisyen rakyat kepada 14 buah sekolah melibatkan 210 orang pelajar serta Jelajah Pendidikan Bumiputera.

Saya percaya inisiatif-inisiatif yang dijalankan ini penting dalam memastikan bantuan bersasar disalurkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan.

Sesungguhnya Kerajaan Barisan Nasional akan kekal komited dalam membantu dan mentransformasi hidup rakyat sama ada di bandar atau di luar bandar.